'Syaitan diikat sepanjang Ramadan, siapa bisikkan was was kepada UMNO?'
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang melabel UMNO sebagai mengalami “penyakit was was daripada bisikan syaitan” dalam menolak penyatuan fikrah Melayu melalui 'Rumah Bangsa' sebagai tidak wajar, dan hanya mengeruhkan suasana politik negara.
Beliau berkata, masyarakat khususnya umat Islam mengharapkan tokoh agama menggunakan bahasa lebih berhikmah dan mendamaikan dalam menyampaikan pandangan politik.
"Sebagai tokoh agama, masyarakat mengharapkan beliau menggunakan bahasa yang lebih berhikmah, mendamaikan dan mendidik, bukan melabel lawan politik dengan istilah seperti syaitan.
"Namun dalam sejarah politik beliau, kenyataan keras seperti ini bukanlah perkara baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Lokman, sejarah politik negara pernah menyaksikan polemik besar apabila perbezaan politik dikaitkan dengan soal iman dan kekufuran, sehingga menimbulkan budaya kafir mengkafir dalam kalangan masyarakat.
Katanya, retorik sedemikian telah memberi kesan buruk termasuk perpecahan dalam masyarakat, hubungan kekeluargaan yang tegang serta menjadikan persaingan politik seolah-olah konflik akidah.
Beliau turut mengimbau fenomena yang pernah berlaku di beberapa kawasan apabila perbezaan politik menyebabkan wujudnya dua imam memimpin solat di masjid atau surau yang sama.
"Malaysia pernah melalui fasa tegang apabila perbezaan politik dikaitkan dengan soal iman dan kekufuran. Isu kafir mengkafir pernah menjadi polemik besar apabila ceramah politik memberi gambaran bahawa menyokong UMNO menentang Islam," katanya.
Dalam kenyataan sama, Lokman turut mengingatkan tentang peristiwa hitam dalam sejarah negara seperti tragedi Memali pada 19 November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah yang mengorbankan 18 nyawa.
Menurutnya, tragedi itu menjadi peringatan bahawa retorik agama dalam politik boleh membawa akibat serius sekiranya tidak dikawal.
Beliau menegaskan bahawa pemimpin agama yang terlibat dalam politik mempunyai tanggungjawab moral untuk menggunakan bahasa yang menenangkan, mengelakkan fitnah serta menghormati perbezaan pandangan.
Ujarnya, empat imam mazhab utama seperti Abu Hanifa, Malik ibn Anas, Muhammad ibn Idris al-Shafi'i, dan Ahmad ibn Hanbal sering berbeza pandangan dalam hukum hakam.
Namun mereka tidak mengkafirkan antara satu sama lain; tidak menghina fatwa ulama lain; dan tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan memecahbelahkan umat.
Lokman yang sedang berada di Masjid Nabawi, Madinah sedang mengerjakan umrah berkata, melabel lawan politik dengan istilah seperti “bisikan syaitan” tidak akan membantu menyelesaikan perbezaan politik.
"Pemimpin agama dalam politik sepatutnya kembali kepada politik yang matang, berhikmah dan menyatukan umat, bukan menghidupkan semula retorik lama yang pernah meninggalkan luka dalam masyarakat," katanya lagi.




Comments