top of page

Syabas Kerajaan MADANI hidupkan demokrasi, hak berhimpun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menyifatkan penganjuran himpunan di Kuala Lumpur semalam yang berlangsung secara aman sebagai bukti ruang demokrasi di negara ini terus subur di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.


Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad (gambar) berkata, himpunan “Tangkap Azam Baki” yang diadakan itu berjalan dengan lancar dan terkawal, sekali gus mencerminkan kematangan rakyat dalam menyuarakan pandangan.


Menurut beliau, situasi sama turut dapat dilihat dalam beberapa himpunan lain sebelum ini termasuk “Turun Anwar” yang juga berlangsung dalam suasana aman.


"Kita menyaksikan himpunan semalam berlangsung dengan aman dan terkawal, begitu juga dengan banyak himpunan lain sebelum ini," katanya dalam kenyataan.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia atas peranan profesional dalam memastikan keselamatan peserta, orang awam serta kelancaran lalu lintas sepanjang himpunan berlangsung.


"Terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia yang menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menjaga keselamatan peserta himpunan, orang awam serta kelancaran lalu lintas," katanya.


Faezuddin menegaskan, perkembangan tersebut mencerminkan perubahan pendekatan dalam pengurusan himpunan awam di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Inilah wajah reformasi yang sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri. Bukti zaman MADANI bukan zaman kuku besi dan tidak sesekali akan menzalimi rakyat. Sekarang bukan lagi zaman kerajaan mengarahkan anggota penguasa melempar gas pemedih mata, mengetuk dan menendang peserta himpunan," katanya.


Menurutnya, kerajaan komited untuk terus menjamin kebebasan bersuara, kebebasan mengkritik serta hak menyatakan pandangan selagi ia dilakukan secara bertanggungjawab dan mengikut undang-undang.


"Selagi tidak melemparkan fitnah, tidak mencetuskan huru-hara, tidak memainkan sentimen kaum dan agama serta tidak menghasut kebencian, maka berhimpunlah, kritiklah dan bersuaralah," katanya lagi.


Semalam himpunan Tangkap Azam Baki dihadiri lebih 1,000 peserta dan diakhiri dengan ucapan daripada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli. Suasana perhimpunan tenang dan sama sekali tidak diganggu oleh polis atau anggota penguatkuasa lain.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page