Surau Jumaat pertama Bukit Bintang beroperasi, permudah ibadah warga kota
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 1 min read

Surau Jumaat sementara di Pusat Komuniti Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB) kini mula beroperasi, sekali gus menjadi surau Jumaat pertama di kawasan Bukit Bintang yang mendapat kebenaran rasmi untuk mendirikan solat Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kemudahan tersebut diwujudkan sementara menunggu pembinaan Masjid Bukit Bintang yang sedang dalam proses dilaksanakan.
"Surau Jumaat sementara di Pusat Komuniti Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB) rasmi diberikan kebenaran khas mendirikan Solat Jumaat buat kali pertama," katanya dalam muat naik di media sosial usai melakukan tinjauan kerja kerja pembinaan masjid di Bukit Bintang, semalam.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan dalam memastikan kemudahan ibadah disediakan kepada masyarakat, khususnya golongan pekerja di kawasan bandar.
"Selepas ini tak ada alasan lagi untuk warga Bukit Bintang tak sempat kejar Solat Jumaat sebab tempat kerja jauh," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pusat Komuniti Outreach Oasis Bukit Bintang, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan atas usaha merealisasikan kemudahan tersebut.
Menurutnya, pembukaan surau Jumaat itu juga menjadi kesinambungan kepada usaha dakwah dan pembangunan komuniti yang diilhamkan oleh Allahyarham Ustaz Dr Abdul Halim El-Muhammady.
Beliau turut mengajak khususnya golongan muda yang bekerja di sekitar Bukit Bintang untuk memanfaatkan kemudahan tersebut.
"Anak muda yang bekerja sekitar Bukit Bintang, jom kita penuhkan saf di surau dan masjid berdekatan," katanya.




Comments