Surat sokongan: PM ketatkan proses tatakelola, tidak perlu dijadikan isu - Afdlin
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Isu melibatkan surat sokongan yang dikeluarkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri pada 2024 kembali menjadi perhatian apabila dibangkitkan semula dalam sidang Parlimen pada 18 November lalu.
Sehubungan itu, beberapa penjelasan penting telah diberikan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat memahami konteks sebenar serta tindakan proaktif kerajaan dalam memperkukuh integriti pentadbiran.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan, kontroversi itu tidak seharusnya dijadikan isu besar kerana pada 6 Mei 2024 Setiausaha Politik PM mengeluarkan surat sokongan, maka Perdana Menteri (PMX) bertindak segera dalam tempoh dua minggu dengan memperkenalkan dasar baharu (SOP), Garis Panduan Rasmi Pengurusan Surat Sokongan dan Intervensi bagi memperketatkan proses tatakelola di semua pejabat pemimpin kerajaan.
Oleh itu, katanya, hal tersebut telah ditangani dengan tuntas dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung tindakan tegas yang perlu diambil.
"Penting difahami bahawa insiden surat sokongan ini berlaku sebelum garis panduan diperkenalkan. Tindakan PMX mengeluarkan SOP baharu dalam masa yang sangat singkat adalah bukti jelas bahawa kerajaan tidak mengambil enteng isu integriti," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa tindakan pembetulan yang dibuat pada 21 Mei 2024 mencerminkan pentadbiran yang progresif. Kerajaan memilih penyelesaian struktur, bukan sekadar menyalahkan individu semata-mata.
Namun, isu yang telah diperbetulkan lebih setahun lalu kembali dipolemikkan oleh pihak pembangkang dan segelintir penyokong kerajaan.
"Timbul persoalan mengapa isu yang telah ditangani dan diperbetulkan pada tahun 2024 masih dijadikan polemik pada akhir 2025.
"Sekiranya garis panduan telah dibaca dan difahami, maka tindakan menghidupkan semula isu lama ini seolah-olah mengabaikan konteks dan fakta penuh. Jika ia tidak dibaca, persoalan mengenai ketelitian dan ketepatan maklumat juga wajar ditimbulkan," ujar Afdlin.
Kenyataan itu menegaskan bahawa kes Setiausaha Politik PM itu tidak harus dilihat sebagai kegagalan sistem. Malah ia adalah sebahagian daripada proses pembaikan berterusan yang dilakukan secara serius oleh pentadbiran PMX dalam menutup ruang kelemahan selain kerajaan memperkukuh SOP tatakelola yang kini menjadi rujukan standard seluruh pentadbiran.
"Ia mencerminkan budaya baharu pentadbiran — sebarang ruang kelemahan ditutup dengan tindakan, bukan retorik," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa memanipulasi insiden lama tanpa menjelaskan hal yang telah diselesaikan hanya akan mengelirukan rakyat.
"Perdana Menteri telah menunjukkan keterbukaan dan keseriusan dalam memastikan pentadbiran sentiasa mengutamakan integriti.
"Isu ini sepatutnya dilihat sebagai contoh bagaimana kerajaan memperbaiki sistem dan bukan sebagai bahan polemik berterusan," kata Afdlin lagi.





