Surat peletakan jawatan MB: Apakah Umno cuba memperdaya Istana?


Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, mempersoalkan sama ada Umno cuba memperdayakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam isu kontroversi peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Syahredzan membangkitkan persoalan itu susulan penafian Ismail semalam bahawa beliau pernah mengemukakan atau bersetuju agar surat peletakan jawatan bertarikh 16 November lalu diserahkan kepada pihak istana.
"Empunya badan tidak pernah hantar surat, tidak pernah bersetuju surat dihantar tetapi dijaja konon sudah melepaskan jawatan.
"Sebelum ini cuba singkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kini cuba perdayakan pula? Umno perlu jawab," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menerusi hantaran sama beliau turut menyelar tindakan kenyataan beberapa pemimpin Umno sebelum ini memberi gambaran Ismail sudah melepaskan jawatan.
"Semua tindakan ini adalah berasaskan suatu perkara yang terbukti tidak benar. Ismail Lasim tidak pernah letak jawatan," tegasnya sambil menyifatkan tindakan pemimpin Umno itu sebagai satu percubaan mengelirukan rakyat.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir pada 16 November lalu mengumumkan peletakan jawatan Ismail selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat berkenaan.




Comments