top of page

Surat Exco Kelantan, T'ganu lampaui 'garis merah', tidak sama dengan Shamsul

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 1 min read
ree

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius pendedahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat Exco Terengganu dan Kelantan menghantar surat meminta kelulusan projek secara terus.


Dalam satu kenyataan MCW berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai melampaui garis merah yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan PK 2.4 – Rundingan Terus.


"Menurut PK 2.4, hanya pegawai pengawal sahaja boleh mengemukakan permohonan rundingan terus kepada Kementerian Kewangan dan bukan ahli politik.


"Surat Exco yang meminta kelulusan projek secara langsung adalah satu bentuk campur tangan politik, memintas proses perolehan dan boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa," katanya dalam kenyataan.


Ketika bercakap di Parlimen semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mendedahkan kewujudan dua surat berasingan daripada Exco Terengganu dan Kelantan membabitkan permintaan kelulusan bagi projek tertentu.


Perdana Menteri berkata kedua-dua surat berkenaan dengan jelas meminta kelulusan rasmi.


Berbeza dengan kes Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, walaupun tidak ideal dan perlu ditegur, ia hanya melibatkan surat sokongan untuk dipertimbangkan, bukan permohonan kelulusan, kata Jais.


"Ia tidak memintas prosedur teknikal atau rundingan terus di mana kes Exco kerajaaan merupakan satu arahan atau campurtangan manakala kes Shamsul merupakan surat pertimbangan yang dikategorikan sebagai zon kelabu," jelasnya.


MCW menegaskan surat Exco kerajaan negeri itu adalah lebih serius serta melanggar struktur perolehan dan melibatkan risiko salah guna kuasa.


"Budaya surat sokongan mesti dihentikan sepenuhnya. Walaupun surat sokongan biasa tidak melanggar PK 2.4, ia tetap membuka ruang tekanan tersirat kepada penjawat awam," katanya.


MCW menggesa kerajaan mewujudkan Garis Panduan Nasional Surat Sokongan termasuk larangan total surat dalam urusan perolehan, sistem log surat sokongan dan kuasa kepada pegawai untuk menolak campur tangan politik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page