Surah Al-Saff jadi pedoman hadapi cabaran masa kini — MB Selangor
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Surah Al-Saff yang menekankan kekuatan, ketabahan dan kesatuan saf harus diangkat sebagai pedoman umat Islam dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dunia hari ini berdepan cabaran yang tertumpu kepada isu ketidaksamarataan ekonomi, tekanan alam sekitar, kejutan geopolitik dan kemerosotan kepercayaan terhadap institusi.
"Menghadapi cabaran ini, ekonomi menjadi tiang penting untuk ummah bangkit, menyumbang dan memimpin.
"Namun tiang itu hanya kukuh jika dibina atas kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, majikan dan pekerja, pengeluar dan pengguna," katanya dipetik.
Terdahulu Amirudin merasmikan Konvensyen Dunia Al-Quran 2025 di Dewan Perdana, Menara MITI di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Konvensyen edisi kelima anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) itu membawa tema Surah Al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges dan menjadi platform antarabangsa menghimpunkan pemimpin ekonomi global, ulama serta aktivis masyarakat daripada 20 negara.
Antara sesi diadakan ialah perbincangan mengenai bagaimana nilai al-Quran boleh diaplikasi dalam ekonomi kontemporari, termasuk etika perniagaan, pelaburan lestari, tanggungjawab sosial dan pembangunan komuniti.
Sementara itu Amirudin turut menyambut baik pelancaran gerakan #Saff12Movement oleh pasukan penyelidikan konvensyen.
Gerakan yang menghubungkan panduan al-Quran dengan 12 sektor utama ekonomi dan masyarakat dianggap satu usaha penting agar renungan terhadap Surah Al-Saff tidak kekal sebagai teori, sebaliknya diterjemahkan kepada peranan, kelompok dan tanggungjawab dalam pelbagai industri.
"Tiada satu negeri atau negara boleh membina ekonomi Qurani bersendirian. Selangor hadir sebagai model yang masih belajar, menawarkan pengalaman, sistem dan pelajaran sebagai amanah bersama kepada ummah.
"Selangor kekal teguh dalam komitmennya untuk berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas dan nilai-nilai al-Quran," tambah Amirudin.









Comments