top of page

Super El Nino: MADA laksana langkah mitigasi elak hasil padi terjejas

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
30 minutes ago
1 min read

Beberapa langkah mitigasi bakal dilaksana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan kawasan jelapang tidak terjejas ekoran jangkaan Super El Nino bermula bulan depan.


Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata, usaha itu akan dilaksana menerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)


Antara langkah yang bakal dilaksana antaranya untuk memastikan pengurusan pelepasan air di tiga empangan MADA dilakukan secara berhemat mengikut keperluan keadaan sawah terlibat agar tidak terjejas.


Selain itu pelan turut menggariskan langkah untuk mengoptimumkan sumber air dalam sistem melibatkan pengoperasian sebanyak 117 pam guna semula serta struktur kawalan air.


"Kesiapsiagaan MADA turut melibatkan penyesuaian amalan pertanian, antaranya penyelarasan jadual penanaman mengikut ketersediaan air, penggunaan varieti tahan kemarau, amalan pengurusan tanah dan air yang cekap serta pengurusan rumpai, perosak dan penyakit secara bersepadu.


"Kesemua pelan mitigasi ini perlu dilaksanakan secara komprehensif mengikut keadaan semasa fenomena El Nino kerana kesannya nanti ialah pada penurunan hasil tanaman padi untuk tahun hadapan dan isu ini adalah sangat kritikal," katanya dipetik laporan media.


Foong Hin sebelumnya menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Jasamu Dikenang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2026 dihadiri Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil di Melaka pada Jumaat.


Beliau sementara itu turut memaklumkan, KPKM terus menjalin kerjasama berterusan dengan pelbagai agensi, antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut dilakukan bagi memantau perkembangan semasa fenomena Super El Nino.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page