
Suntikan modal RM1.1 bilion yang diberikan kerajaan kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukanlah aktiviti penyelamatan ke atas kroni atau "bailout" yang kerap dipraktikkan oleh kerajaan terdahulu.
Sebaliknya, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, suntikan itu khusus untuk membayar hutang SEB kepada vendor yang melibatkan kira kira 2,000 perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana sektor minyak dan gas tempatan yang majoritinya adalah Bumiputera.
Manakala kerajaan pula akan memastikan SEB distruktur semula dan semua kelemahan syarikat itu diatasi bagi membolehkan dana pinjaman yang disuntik tersebut mampu dibayar kembali.
"Suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
"Ia penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan," kata Anwar dalam kenyataan hari ini.
Tegas Menteri Kewangan itu, tidak seperti operasi penyelamatan, suntikan modal kepada SEB tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.
"Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB," katanya.
Di samping itu, jelas Anwar, proses audit juga telah dilasanakan dan ketekunan wajar (due diligence) tambahan pula akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula.
Katanya, dapatan due diligence tersebut akan dikongsikan kepada agensi penguatkusaan terkait seperti Suruhanjaya Sekuriti dan sebagainya, sama ada perlu diambil tindakan kepada mana mana pihak yang dianggap bertanggungjawab.
"Kerajaan Madani (dalam suntikan ini) tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan.
"Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah. Suntikan Kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem industri minyak dan gas yang strategik untuk ekonomi negara," katanya lagi.
Suntikan dana dari Permodalan Nasional Berhad ke atas SEB sebelum ini dikritik pembangkang dengan membayangkan berlakunya operasi bailout yang saling tidak tumpah dengan kerajaan terdahulu dan pernah ditentang oleh Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, bailout yang dilakukan itu biasanya memberi pampasan kepada pemegang saham yang mengalami kerugian atau pengurusan tinggi yang tidak cekap masih dibenar mengurus.
Sedangkan hal itu tidak berlaku kerana pengurusan baharu akan mengambil alih dan suntikan lebih bertujuan membayar vendor yang berisiko gulung tikar akibat kelemahan SEB.
Comments