Pemberian hadiah atau sedekah sunah diberikan kepada seseorang dalam bentuk yang terbaik diterima.
Hal itu ditegaskan Ahmad Nadhir Yob dari Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Terengganu yang mengulas isu ADUN Chukai, Hanafiah Mat memberi ikan tongkol tanpa pembalut kepada masyarakat di kawasannya kelmarin.
Menurut Ahmad Nadhir, yang merupakan pengundi di DUN Chukai, alasan kononnya masyarakat Terengganu telah terbiasa dengan pemberian tanpa pembalut seperti itu tidak boleh diterima kerana beliau sendiri diberi plastik pembalut oleh penjual sekiranya membeli ikan di pasar Chukai.
"Video pemberian ikan itu tular di media sosial selepas YB Hanafiah yang lebih dikenali dengan YBC memuat naik di akaun tiktok beliau.
"Pelbagai maklum balas diberi oleh warga maya berhubung tindakan beliau tidak membungkus ikan tersebut dan terus memberi kepada penduduk setempat.
"Tidak kurang yang mengkritik tindakan YBC yang dilihat tidak menghormati pihak penerima. Namun YB Chukai membalas ia adalah perkara biasa yang dilakukan kepada warga tempatan memberi ikan tanpa dibalut (sebelum ini).
"Bagi pandangan saya jawapan yang diberi oleh YB itu kurang santun. Saya merupakan anak jati Chukai, Kemaman apabila membeli ikan di pasar Chukai biasanya ikan dibungkus elok oleh penjual. Bahkan dibalut dua kali dengan plastik sebelum diberikan kepada pembeli," katanya.
Tambah Ahmad Nadhir, pembalut bukan sahaja menghormati penerima tetapi bagi mengelakkan air ikan tersebut menitis di lantai dan mengotorkan rumah.
Katanya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya sekiranya memberi hadiah haruslah dipersembahkan dengan cara terbaik kepada penerima.
"Jika YB membalut dahulu ikan tersebut tidakkah ia bertepatan dengan sunah?
"Bersedekah di bulan Ramadan sangat dituntut tetapi apabila kita melakukan dengan cara yang terbaik ia akan menambah pahala terutama di bulan Ramadan yang mulia ini," katanya lagi.
Bagaimanapun, kata Ahmad Nadhir, tergurannya itu tidak bermakna mahu menghalang pemberian tersebut. Namun persembahkanlah dalam bentuk yang terbaik kerana wakil rakyat menarik perhatian dan menjadi tauladan mewakili sifat orang Terengganu yang penuh sopan dan santun.
Terbaru, selepas dikritik keras oleh para netizen, wakil rakyat Pas tersebut telah menggunakan plastik merah dalam memberi ayam kepada masyarakat di kawasannya.
Comments