Sumud Flotilla: Kerajaan tidak kompromi layanan kasar terhadap aktivis
- Azuan Ab Rahman

- May 29
- 1 min read

Kerajaan MADANI tidak berkompromi dalam soal melindungi keselamatan, kebajikan serta hak rakyat Malaysia di luar negara selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata begitu sebagai mengulas insiden penculikan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk warga Malaysia oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, baru-baru ini.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita pastinya amat prihatin apabila timbul dakwaan melibatkan layanan fizikal yang kasar, unsur intimidasi serta penafian hak-hak asas terhadap aktivis yang terlibat.
"Kerajaan mendesak supaya siasatan menyeluruh, bebas dan telus dilaksanakan segera terhadap insiden layanan kasar ke atas rakyat Malaysia serta aktivis," katanya malam hantaran di media sosial.
Aktivis misi GSF 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendakwa dikasari dan diseksa secara fizikal serta mental oleh tentera rejim Zionis Israel ketika kapal mereka dipintas dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza.
Mereka dipaksa melutut, digari tangan ke belakang, dan dipijak serta ditumbuk pada bahagian tulang rusuk oleh pihak rejim.
"Kebajikan, maruah dan hak perundangan semua aktivis yang ditahan dihormati serta dilindungi sepenuhnya.
"Saya difahamkan pelbagai pihak termasuk organisasi hak asasi manusia dan wakil perundangan kini sedang mengumpulkan testimoni serta bukti berkaitan insiden tersebut," tambahnya.
Menerusi kenyataan tersebut Saifuddin turut menegaskan Kerajaan akan terus memantau perkembangan perkara ini secara rapat dan memastikan kepentingan serta keselamatan rakyat Malaysia sentiasa diberikan keutamaan.
Dalam masa sama kerajaan turut menyeru agar usaha diplomatik diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan antarabangsa.




Comments