
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di Selangor biar pun kebanyakan kawasan banjir air telah mulai surut.
Sehingga 24 Disember terdapat 133 buah PPS yang masih aktif menempatkan keseluruhan 17,281 orang mangsa banjir dengan jumlah kanak kanak sekitar 5,000 orang dan bayi sekitar 400 orang.
Untuk itu, menurut Koordinator PPS Selangor, Rodziah Ismail, permintaan mangsa banjir untuk disediakan hot water dispenser, diusahakan oleh kerajaan Selangor dengan bantuan syarikat syarikat swasta.
"Jawatankuasa PPS Selangor telah menerima banyak permintaan daripada mangsa-mangsa banjir agar disediakan bekalan air panas bagi memudahkan penyediaan susu kanak kanak dan bayi serta minuman panas.
"Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa PPS Selangor telah berhubung dengan syarikat-syarikat pembekal yang boleh menyediakan “Hot Water Dispenser” di PPS. Sehingga kini, terdapat 2 buah syarikat swasta dan 1 buah agensi kerajaan telah bersetuju menyumbang Hot Water Dispenser melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di 25 buah PPS," katanya.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri, kata Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan itu lagi, mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta lain dan pihak korporat untuk menyumbang pemanas air dan lain-lain sumbangan yang dapat memudahkan kehidupan seharian dan meringankan beban mangsa-mangsa banjir di PPS.
"Bagi pihak yang ingin membuat sumbangan ke PPS, disarankan untuk menghubungi Bilik Gerakan Bencana Daerah. Ini bagi memudahkan penyelarasan dan melicinkan pengurusan PPS," katanya lagi.
Talian tersebut juga, katanya boleh digunakan orang ramai bagi memaklumkan lokasi perlindungan sementara atau PPS tidak rasmi yang diwujudkan di kawasan masing-masing.