top of page

Sumbangan korporat penting tingkatkan pendidikan, tonggak Malaysia MADANI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 days ago
  • 2 min read
DS Wan Azizah dalam ucapan perasmian Program Ceria Ke Sekolah di Palace Of Golden Horses
DS Wan Azizah dalam ucapan perasmian Program Ceria Ke Sekolah di Palace Of Golden Horses

Sumbangan pihak korporat dalam sektor pendidikan mahupun memberi bantuan kepada para pelajar sekolah dari keluarga kurang berkemampuan amat dialu alukan kerajaan.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan penghargaan kepada ERM Foundation selaku penaja utama program kebajikan pendidikan di kawasan beliau yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah serta memastikan kesinambungan pendidikan pelajar.


Beliau berkata, sumbangan ERM Foundation itu mencerminkan pendekatan tanggungjawab sosial korporat yang seimbang dengan penekanan kepada pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang pendidikan generasi muda.


"Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ERM Foundation atas komitmen dan sokongan mereka. Sumbangan ini mencerminkan usaha membangunkan modal insan, khususnya pendidikan generasi muda," katanya dalam ucapan perasmian Program Ceria Ke Sekolah di Palace Of Golden Horses, Kuala Lumpur petang tadi.


Wan Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru-guru serta para pelajar yang menjayakan inisiatif tersebut.

Menteri Pendidikan Fadhlina turut hadir menyantuni pelajar yang menerima bantuan
Menteri Pendidikan Fadhlina turut hadir menyantuni pelajar yang menerima bantuan

Menurut beliau, program berkenaan bertujuan membantu keluarga B40 dengan menyediakan keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam, alat tulis dan beg sekolah agar pelajar dapat memulakan sesi persekolahan tanpa tekanan kewangan.


"Di samping itu, program ini bertujuan untuk memastikan kesinambungan pendidikan dengan mengurangkan risiko keciciran pelajar akibat kekangan kewangan, sekali gus menyokong pencapaian akademik mereka.


"Kami ingin meningkatkan motivasi dan keyakinan pelajar untuk hadir ke sekolah dengan penuh semangat dan menggalakkan mereka menghargai pendidikan sebagai laluan ke arah masa depan yang lebih cerah," katanya.


Wan Azizah menegaskan bahawa pendidikan merupakan keutamaan Kerajaan Perpaduan selaras dengan agenda Malaysia MADANI, dengan peruntukan sebanyak RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan dalam Belanjawan 2026.


"Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk membuka masa depan yang lebih cerah untuk belia kita. Dengan melabur dalam pembelajaran, kami memperkasakan generasi baharu untuk menjadi warganegara yang lebih mahir, lebih patriotik dan lebih empati," katanya.


Beliau turut merujuk dapatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bantuan awal persekolahan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesediaan pelajar, kadar kehadiran serta penyertaan konsisten ke sekolah, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.


Justeru, Wan Azizah menyeru pelajar agar terus menumpukan perhatian kepada pendidikan dan memanfaatkan setiap peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.


"Kita tidak mahu sesiapa pun ketinggalan, terutama dalam semangat Malaysia MADANI. Kepada pelajar yang dikasihi, saya menggesa kamu terus fokus pada pendidikan dan menerima setiap peluang untuk mengembangkan bakat. Tabah menghadapi cabaran. Sentiasa menghormati guru dan menjunjung tinggi standard kelakuan dan perwatakan yang tertinggi," katanya sambil memetik firman Allah dalam Surah Al-Mujadila ayat 11 mengenai keutamaan orang berilmu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page