top of page

Caj Bazar Deepavali KL diturunkan kepada maksimum RM400

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
37 minutes ago
1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengumumkan caj penyertaan Bazar Deepavali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 diturunkan daripada RM2,626 kepada maksimum RM400.


Menurutnya, kadar baharu itu yang turut meliputi bayaran cagaran diselaraskan dengan caj bazar ramadan dan merupakan antara komitmen Kerajaan MADANI mengurangkan kos perniagaan kepada penjaja di ibu negara.


"Fokus kita senang sahaja, kita hendak turunkan kos untuk penjaja, beri tempoh berniaga yang lebih panjang kepada mereka. Tahun ini kita buka peluang untuk mereka berniaga, tempoh berniaga dipanjangkan daripada 21 hari kepada 30 hari," katanya dipetik laporan media.


Sementara itu menurut Hannah, Konsep Mega Bazar Deepavali turut diperkenalkan bagi memusatkan aktiviti perniagaan, membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan aspek keselamatan serta memudahkan pengurusan operasi.


Sebanyak 172 ruang perniagaan disediakan tahun ini berbanding 164 pada 2025, melibatkan 122 petak di tempat letak kenderaan Kompleks Tun Sambanthan, 20 petak di Jalan Bunus 6, Masjid India serta kira-kira 30 ruang promosi bagi premis perniagaan.


Tambahnya, Malaysia Hindu Sangam Wilayah Persekutuan turut dilibatkan buat pertama kali tahun ini bagi membuka ruang kepada peniaga baharu, termasuk mereka yang belum pernah menyertai bazar tersebut sebagai inisiatif rintis dan akan dinilai DBKL sebelum bentuk kerjasama seterusnya ditentukan.


Berdasarkan kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jumlah RM400 itu merangkumi fi lesen RM30, caj perkhidmatan RM150, sewa tapak RM150 dan cagaran RM70.


Hannah dalam pada itu turut mengingatkan peniaga supaya berurusan secara terus dengan DBKL bagi mengelakkan mereka dikenakan caj lebih tinggi oleh pihak ketiga atau orang tengah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page