top of page

Sumbangan Kembali ke Sekolah diagih kepada kanak kanak di Taman Berjaya Permai

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 57 minutes ago
  • 2 min read

Hj Fakhrul Anuar (berbaju putih) dalam majlis serangan sumbangan Kembali ke Sekolah
Hj Fakhrul Anuar (berbaju putih) dalam majlis serangan sumbangan Kembali ke Sekolah

Anak-anak Kelas Al-Quran Percuma Taman Berjaya Permai, Kuantan menerima Sumbangan Kembali ke Sekolah hasil keprihatinan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek, dalam usaha meringankan beban persediaan persekolahan serta menyokong kelangsungan pendidikan anak-anak komuniti setempat.


Keceriaan dan keterujaan jelas terpancar pada wajah para pelajar, yang disifatkan sebagai bukti bahawa sokongan terhadap pendidikan bukan sahaja akademik, malah pendidikan Al-Quran, memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak.


Menurut Pengasas Kelas Al-Quran Taman Berjaya Permai, Fakhrul Anuar Zulkawi, kelas berkenaan bermula secara kecil-kecilan namun terus istiqamah demi memastikan anak-anak komuniti tidak tercicir daripada pendidikan Al-Quran.


“Usaha ini lahir daripada kesedaran bahawa pendidikan Al-Quran adalah asas penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak, dan sokongan berterusan amat diperlukan untuk memastikan kesinambungannya,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.


Sementara itu, Ustaz Hairul Anuar selaku tenaga pengajar turut menekankan kepentingan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan masyarakat dalam membentuk jati diri serta sahsiah anak-anak.


“Keprihatinan yang ditunjukkan ini amat kami hargai dan menjadi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya.


Hadir sama Ketua Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu Samsuri, yang menyifatkan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang negara, selain menegaskan bahawa bantuan seperti ini bukan sekadar sumbangan material, tetapi dorongan moral kepada anak-anak untuk terus berusaha dan berjaya.


Ketua Srikandi KEADILAN Pahang, Siti Samihah Al-Zarafi, pula mengingatkan para pelajar agar menghargai setiap peluang yang diterima serta menanam keyakinan diri bahawa mereka mampu melakar masa depan yang lebih baik melalui ilmu dan disiplin.


Majlis tersebut turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas sokongan berterusan terhadap usaha pemerkasaan pendidikan anak-anak komuniti, dengan harapan sumbangan berkenaan menjadi asbab kejayaan mereka di dunia dan akhirat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page