Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) berjaya menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia dengan mengagihkan kira-kira 600 pek berbuka puasa kepada rakyat Yaman sepanjang Ramadan lalu.
Setiausaha Agung Sejagat Sheikh Mustafa Al-Saggaf berkata sumbangan itu berjaya diagihkan kepada penduduk di kem perlindungan di Aden dengan kerjasama pertubuhan amal tempatan MSR Foundation.
"Alhamdulillah sumbangan dermawan rakyat Malaysia untuk Misi Sumbangan Pek Iftar Untuk Kemanusiaan Yaman 2024 telah selesai diagihkan kepada 600 orang rakyat Yaman yang daif.
"Misi ini merupakan kesinambungan usaha kami di Sektretariat Kemanusiaan Malaysia-Yaman sejak 2022 untuk membantu rakyat Yaman.
"Moga usaha kita ini mampu menyuntik sedikit kegembiraan di hati rakyat Yaman yang bertahun sengsara akibat perang," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Sheikh Al-Saggaf berkata meskipun menghadapi kesengsaraan akibat perang sejak bertahun-tahun lamanya rakyat Yaman tetap konsisten dalam membela Palestin.
"Akibat itu Yaman terus jadi sasaran kuasa arogan untuk ditekan agar hentikan dukungan dan menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka," katanya.
Sheikh Al-Saggaf berkata setiap penerima sumbangan itu akan diberikan pek makanan nasi ayam, buah-buahan dan air mineral dengan agihan dilakukan sepanjang tiga malam.
"Sebenarnya tahun ini jumlah sumbangan kurang berbanding 800 pek tahun lepas, mungkin disebabkan faktor ekonomi tahun ini agak kurang.
"Tapi kita bersyukur mampu menghulurkan sumbangan kepada rakyat Yaman bagi memberikan mereka kegembiraan dalam mengharungi Ramadan setelah sengsara akibat perang, hilang rumah dan pekerjaaan," katanya.
"Kita harap rakyat Malaysia sedar kepayahan yang ditanggung rakyat Yaman yang telah disenyapkan dari pengetahuan dunia sedangkan krisis kemanusiaan di Yaman dianggap terburuk oleh badan dunia."
Mengenai program akan datang, Sheikh Al-Saggaf berkata pihaknya merancang untuk menyasarkan 50 ekor haiwan korban dilakukan di Yaman tahun ini.
"Ini akan dilakukan pada hari pertama Aidiladha selain menyambung kembali projek telaga untuk bekalan air bersih yang tergendala ketika pandemik sebelum ini," ujarnya.
留言