Sultan Selangor zahir penghargaan kejayaan pembinaan LRT3
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 3 min read

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen memastikan projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam diteruskan sehingga berjaya disiapkan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Baginda bertitah kejayaan pelaksanaan projek LRT3 yang mula beroperasi baru-baru ini adalah hasil kesinambungan perancangan, komitmen serta kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran kerajaan demi kepentingan rakyat Selangor.
"Alhamdulillah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat Beta.
"Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial hari ini.
Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain menyediakan pilihan perjalanan lebih pantas, selesa dan selamat khususnya kepada penduduk Klang, Shah Alam serta kawasan sekitar yang berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur.
"Beta juga berharap pihak Prasarana dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menerima cadangan baginda agar membina kemudahan pengangkutan rel menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Baginda bertitah cadangan itu disampaikan kepada Najib pada satu majlis berbuka puasa di kediaman bekas Perdana Menteri itu pada 2015 selepas menerima banyak aduan daripada suri rumah mengenai masalah kesesakan lalu lintas yang menyebabkan suami mereka sering pulang lewat selepas waktu bekerja.
"Beta masih ingat, titah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu, Beta telah memaklumkan kepada beliau semasa satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada tahun 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan Beta itu," titah baginda.
Menurut baginda, ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang, menyebabkan masalah kesesakan terutama pada waktu puncak menjadi semakin buruk.
Baginda bertitah, sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Najib turut memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018.
Bagaimanapun, Sultan Selangor turut menyentuh mengenai kelewatan pelaksanaan projek itu selepas berlaku pertukaran kerajaan pada 2018 serta kesan pandemik Covid-19.
Baginda bertitah, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan sebelum mengambil masa tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehingga 2021.
Baginda kemudian mengkritik tindakan Kementerian Kewangan ketika pentadbiran bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menurut baginda mengecilkan skop projek atas alasan ia adalah projek mega.
"Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta," titah Sultan Sharafuddin.
Titah baginda lagi, ketika itu saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran berkenaan turut dibatalkan.
Dalam masa sama, Sultan Selangor menegaskan tiada mana-mana pihak boleh mengambil kesempatan mendakwa kejayaan pelaksanaan LRT3 adalah hasil usaha mereka semata-mata.
"Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.
"Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya," titah baginda.
Baginda berharap kemudahan infrastruktur itu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.
"Akhir sekali, Beta berharap kemudahan infrastruktur LRT3 ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan lagi hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara," titah Sultan Sharafuddin.




Comments