Sultan Selangor ingatkan jangan Fitnah sepanjang kempen PRN
- Suara Keadilan
- Jul 22, 2023
- 1 min read

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan calon dan penyokong parti politik supaya tidak menjadikan umpatan, hinaan dan memfitnah orang lain sebagai bahan kempen mereka.
Baginda melalui kenyataan dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office mengingatkan hukum-hakam Allah tetap berjalan dalam keadaan apa pun, dan siksa Allah menanti di akhirat bagi mereka yang mengumpat serta memfitnah.
"Menerusi pemerhatian baginda, perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah SWT setiap kali menjelang pilihanraya, seolah-olah musim menjelang pilihanraya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat," menurut kenyataan itu.
Baginda sementara itu turut berpesan agar isu-isu berkaitan dengan kaum, agama dan institusi diraja tidak dijadikan bahan berkempen bagi memastikan tiada pertelingkahan dalam kalangan umat Islam berlaku.
Ia juga bagi memastikan hubungan antara kaum dalam negara tidak terjejas.
"Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.
"Raja dan Sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah Allah SWT serta tidak menyuruh melakukan maksiat.
"Sultan adalah payung yang melindungi sekalian rakyat jelata di bawah naungannya," titah baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa negara mempunyai undang-undang antaranya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh dikenakan terhadap mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada institusi diraja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Oleh itu, baginda mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata pepatah Melayu, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'," menurut kenyataan itu.
Comments