top of page

Sultan Perak titah bendung api perkauman daripada merebak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 30, 2024
  • 2 min read

ree

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah menganggap kejadian melempar bom petrol ke dalam sebuah kedai serbaneka di negeri itu sebagai satu petanda yang membimbangkan.


Baginda menitahkan insiden itu diberikan perhatian serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas.


Baginda menitahkan perkara itu melalui kenyataan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin yang dikeluarkan Pejabat Dewan Negara Perak, Istana Kinta hari ini.


"Baginda mempercayai majoriti rakyat Malaysia bersikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan.


"Baginda memberikan jaminan untuk memberikan naungan dan lindungan kepada setiap rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama secara adil dan saksama agar dapat terus hidup dalam rukun dan damai," katanya.


Kenyataan itu berkata, Sultan Nazrin telah disembah maklum oleh polis tentang kejadian melempar bom petrol di dalam kedai serbaneka KK Super Mart Bidor, Perak pada 26 Mac iaitu pada hari pemilik kedai tersebut dikenakan pertuduhan berkaitan penjualan stoking berkalimah Allah di Shah Alam, Selangor.


Terdahulu kenyataan tersebut menyatakan Sultan Perak khuatir perbuatan tidak beretika pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dengan mengaitkan secara luar konteks titah yang dizahirkan atas nama Raja Muda Perak dalam satu persidangan pendidikan kira-kira 19 tahun lalu.


Baginda bertitah perbuatan menangguk di air keruh yang tidak bertanggungjawab membawa kesan langsung yang boleh menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.


Dalam tulisan di atas nama 'Amanah Membina Negara', kenyataan berunsur perkauman yang dikaitkan dengan konteks salah melibatkan petikan Raja Muda pada Kongres Pendidikan Melayu Kedua di Kuala Lumpur pada 27 Mac 2005.


"Sepanjang titah, baginda tidak pernah sama sekali mengait dan menzahirkan ungkitan terhadap mana-mana kaum di negara ini. Dipercayai ketika ini yang mahu menghidupkan bara perkauman dan keagamaan hingga ke peringkat mengaitkan secara luar konteks titah yang dizahirkan oleh Raja Nazrin Shah pada 2005," ujarnya.


Kata kenyataan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pejabat Sultan Perak pada 28 Mac lalu bagi melindungi baginda daripada diseret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat mereka.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page