top of page

Sultan Ibrahim angkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17



Oleh: Helmi Mohd Foad


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.


Baginda turut menandatangani surat pengisytiharan sumpah jawatan dalam istiadat di Balairung Seri yang turut dihadiri oleh Raja-Raja Melayu.


Surat pengisytiharan angkat sumpah jawatan itu kemudian dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah pula melafaz sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong buat kali ketiga.


Pelantikan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja Raja Melayu itu terkandung dalam Perkara 32 dan 33 Perlembagaan Persekutuan.


Upacara angkat sumpah jawatan itu disaksikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.


Istiadat tersebut diadakan dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu ke-264 dengan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.


Berkenan hadir pada istiadat itu ialah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.


Hadir sama anggota kerabat Istana Johor dan menteri Kabinet, menteri-menteri besar, premier dan ketua menteri.


Istiadat itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.


Istiadat tersebut dikendalikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini.


Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.


Terdahulu keberangkatan tiba Sultan Ibrahim di Dataran Istana Negara pada pukul 10.40 pagi disambut Perdana Menteri.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.


Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada pegawai, anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.


Sultan Ibrahim selamat tiba di ibu negara kira-kira pukul 9.40 pagi tadi dengan menaiki pesawat peribadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).


Ketibaan baginda di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin.


Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku menteri pengiring.


Baginda kemudian melalui Kawalan Kehormatan Setempat yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Regimen Renjer Diraja Istiadat yang memberi Hormat Diraja.


Di luar Pangkalan TUDM, orang ramai berkumpul sejak awal pagi untuk tidak melepaskan peluang menyambut keberangkatan tiba dan memberikan lambaian kasih kepada Seri Paduka Baginda tatkala kenderaan konvoi Diraja bergerak menuju ke Istana Negara.


*Kredit foto: Foto rasmi YDPA

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page