Sukma Waja KEADILAN Kuantan edar 500 pek bubur lambuk sempena Ramadan
- Redzuan Shamsudin

- Mar 17
- 2 min read

Program sukarelawan wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerusi inisiatif Sukma Waja terus aktif menyantuni masyarakat apabila sukarelawan di Kuantan bergotong-royong memasak serta mengedarkan bubur lambuk sempena bulan Ramadan.
Program tersebut digerakkan oleh Wanita KEADILAN Kuantan dengan kerjasama Ranting KEADILAN Seri Teruntum di bawah kawasan Teruntum dalam Parlimen Kuantan.
Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri berkata sejak pelancaran Sukma Waja peringkat negeri pada 16 Februari lalu oleh Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek, sambutan dalam kalangan wanita amat menggalakkan.
"Sejak hari pelancaran Sukma Waja, ia mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan wanita. Setakat ini lebih 400 wanita telah mendaftar untuk menyertai Sukma Waja," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, Sukma Waja merupakan platform sukarelawan wanita yang diwujudkan bagi menggerakkan aktiviti kemasyarakatan di negeri Pahang, termasuk kepada mereka yang mahu menyumbang kepada masyarakat tanpa perlu menjadi ahli parti.
Sementara itu, Ketua Ranting Seri Teruntum, Nordiyana Abdul Aziz berkata program memasak dan mengedar bubur lambuk merupakan aktiviti sulung Sukma Waja Kuantan sepanjang Ramadan.
Menurutnya, seramai sukarelawan wanita berjaya menyediakan kira-kira 500 pek bubur lambuk untuk diedarkan kepada penduduk sekitar.
"Aktiviti memasak bubur lambuk ini sangat sesuai dilaksanakan oleh wanita. Penyediaannya melibatkan pencarian bahan seperti pucuk paku, daun kesum dan daun kunyit yang biasa terdapat di sekitar rumah," katanya.
Beliau berkata proses mengacau bubur lambuk mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam sebelum ia sedia untuk diedarkan kepada penduduk setempat, masjid serta surau di sekitar kawasan tersebut.
Selain bubur lambuk, sukarelawan turut menyediakan minuman air tebu segar sebagai pelengkap juadah berbuka puasa.
Program berkenaan turut disertai Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi serta Setiausaha Cabang, Dr Nik Izual Nik Ibrahim.




Comments