SUKMA Selangor 2026 janjikan pendekatan segar, bertenaga
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bakal tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan bertenaga, selari dengan aspirasi negeri untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada semua pihak yang terlibat.
Exco Sukan Selangor, Najwan Halimi (gambar) berkata, sebagai tuan rumah temasya dwitahunan itu, Selangor tidak sekadar meletakkan sasaran kutipan pingat sebagai keutamaan, sebaliknya berhasrat menjadikan penganjurannya sebagai penanda aras baharu acara sukan pada masa hadapan.
"Walaupun asas penganjuran SUKMA hampir sama di setiap negeri, Selangor mahu tampil berbeza menerusi penglibatan belia, komuniti setempat serta elemen kreatif yang mencerminkan identiti negeri.
"Kita menjamin pembukaan temasya ini akan tampil dengan kelainan. Konsep yang lebih segar dan bertenaga, sekali gus mencerminkan Selangor sebagai sebuah negeri moden dan progresif," katanya dipetik.
SUKMA Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini bakal mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan, manakala PARA SUKMA pula melibatkan 10 jenis sukan dengan hampir 300 acara yang akan berlangsung dari 5 hingga 14 September.
Sebanyak 52 lokasi pertandingan di sembilan daerah akan digunakan, melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta agensi kerajaan dan swasta, termasuk Velodrom Nasional Negeri Sembilan.
Sementara itu menurut Najwan, bagi memastikan penganjuran temasya kali ini benar-benar memberi impak, pihak penganjur akan terus memperkasa kemudahan sukan, pembangunan bakat atlet serta keseluruhan ekosistem sukan negeri .
Langkah itu agar SUKMA Selangor 2026 bukan sekadar berlangsung dengan jayanya, tetapi turut meninggalkan legasi bermakna untuk generasi akan datang.









Comments