Sukarelawan YADIM diseru bina jiwa ihsan selari gagasan Malaysia Madani
- Suara Keadilan
- 23 minutes ago
- 1 min read

Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu membina kekuatan jiwa berteraskan ihsan, nilai kekitaan dan semangat kebersamaan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi dan sahsiah, demikian penegasan Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim.
"Sukarelawan YADIM perlu membangun jiwa dengan rasa ihsan, kekitaan dan kebersamaan yang disulam dengan keseimbangan jasmani, emosi dan sahsiah; selari dengan gagasan Malaysia Madani yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX)," katanya ketika berucap pada Program Latihan Asas Sukarelawan YADIM (LASAK) Siri 10/2025 yang berlangsung pada 14 hingga 16 November di Kompleks Latihan MARDI, Serdang.
Zairudin turut menekankan bahawa komitmen jitu para sukarelawan dalam melaksanakan program dakwah kebajikan amat penting, sambil menjadikan Perdana Menteri sebagai tokoh aktivis contoh.
Tambah beliau, PMX adalah sosok yang aktif menggerakkan pelbagai program berimpak sejak usia muda melalui organisasi seperti ABIM, MBM, PKPIM, WAMY dan pelbagai platform lain.
Program LASAK Siri 10/2025 menghimpunkan enam pasukan Sukarelawan YADIM (SAY):
SAY Putrajaya, SAY Sungai Semungkis, SAY Taman Nanding, SAY Sepang, SAY PPR Taman Wahyu dan SAY Petaling Jaya Selatan (PJS).
Pelbagai pengisian bermanfaat disusun sepanjang tiga hari program, antaranya perkongsian eksklusif oleh pegawai Bomba Balai Serdang; Program Ziarah Kasih; Street Dakwah di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah; Slot penghayatan kerja dakwah masyarakat Madani oleh Daie Muda YADIM Al-Fateh; dan Tadabbur Surah al-Fatihah oleh Daie Muda YADIM Lutfi Hadi.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, Ahmad Saparudin Yusop, turut dihadiri Pengarah Bahagian Khidmat Bakti, Hafsah Hussain.





