Menyedari kesedaran pengambilan vaksin Covid 19 masih belum tinggi terutama dalam kalangan warga emas dan golongan masyarakat luar bandar, sukarelawan Parlimen Port Dickson (PD) melakukan kempen rumah ke rumah bagi meningkatkan pendaftaran.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, menyertai salah satu kempen berkenaan di DUN Chuah.
"Sukarelawan PD ini akan membantu kumpulan sasar seperti warga emas, golongan kelainan upaya (OKU) dan mereka yang tidak mempunyai akses mendaftarkan diri bagi menerima vaksin di aplikasi MySejahtera.
"Selain itu, pasukan ini juga akan menyediakan khidmat pengangkutan percuma kepada kumpulan sasar berkenaan dalam memastikan mereka dapat memenuhi temujanji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), untuk mendapat suntikan vaksin masing-masing pada masa yang ditetapkan," katanya.
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Port Dickson turut menyediakan talian hotline kepada warga yang berminat dengan perkhidmatan yang ditawarkan secara menghubungi Hotline Sukarelawan PD: 06-223 0088.
Sebelum itu, Presiden KEADILAN tersebut menziarahi keluarga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang meninggal dunia dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Telok Pelanduk.
Dalam kejadian tersebut, Yusuf Khalish Azidie Fadzly dijumpai dalam timbunan pakaian di tepi sebuah katil oleh pihak bomba selepas terperangkap dalam kebakaran.
Anwar juga singgah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) di Politeknik Port Dickson bagi menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit.
PKRC tersebut menempatkan pesakit berisiko rendah dari Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban dan juga Hospital Rembau serta Hospital Tampin.
"PKRC telah menempatkan hampir 600 pesakit dan angka ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan dan keperluan.
"Sekalung penghargaan buat semua 159 petugas kesihatan, petugas perubatan dan juga petugas dari setiap agensi yang komited kepada tanggungjawab dan amanah yang diberikan," katanya.
Comments