Sukarelawan M'sia dibebaskan paling cepat: Diplomasi PMX berkesan
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Hasbul Ahmad
Sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel baru-baru ini selepas menyertai misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan menjadi antara kumpulan pertama yang dibebaskan, hanya selepas dua hari berada di Israel.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim berkata, pembebasan pantas ini menunjukkan kecekapan diplomasi Madani yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam mengimbangi hubungan dengan dunia Arab dan Amerika Syarikat (AS).
"Rakyat Malaysia dibebaskan paling cepat berbanding aktivis dari negara lain. Hanya dua hari mereka berada di Israel, tanpa soal siasat panjang atau proses hukuman yang keras. Ini hasil kebijaksanaan diplomasi Madani yang dilaksanakan oleh PMX," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menurut beliau, keupayaan Malaysia mengekalkan saluran komunikasi dengan pelbagai pihak termasuk negara-negara Arab, OIC, serta AS membolehkan tekanan diplomatik dibuat secara tersusun dan berkesan, hingga mempercepatkan proses pembebasan.
"PMX berjaya menggunakan pendekatan diplomasi berlapis — tegas terhadap kezaliman Zionis, tetapi tetap berhemah dalam diplomasi antarabangsa. Inilah kelebihan Malaysia di bawah kepimpinan beliau," ujar Fakharuddin.
Beliau turut menyifatkan kejayaan ini sebagai sesuatu yang tidak mungkin berlaku jika Perikatan Nasional (PN) mentadbir kerajaan, memandangkan dasar luar blok itu yang lebih sempit dan beremosi.
"Kalau PN memerintah, saya tak rasa mereka mampu capai keputusan secepat ini. Diplomasi bukan sekadar laungan semangat, tetapi seni rundingan dan kepercayaan antarabangsa.
"Ini sesuatu yang PMX sudah buktikan," tegasnya lagi.
Semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Zionis Khamis lalu dibebaskan kini berada di Istanbul, Türkiye dan dijangka pulang ke tanahair minggu ini.