
Sukan Selangor atau Sukses kembali dianjurkan pada tahun ini selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019 lalu.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi, Sukses kali ini akan dianjurkan di Daerah Hulu Langat sebagai tuan rumah dan acara akan bermula pada 7 sehingga 19 Nov 2023.
"Penganjuran sukses adalah berbentuk dwi-tahunan dan kali terakhir kita adakan pada 2019 sebelum dilanda Covid. Sepatutnya pada 2021 ada satu lagi edisi (tetapi tidak dianjurkan) kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika itu.
"Objektif pengajuran Sukses ini adalah bentuk galakkan sukan di peringkat akar umbi di setiap daerah di Selangor. Ianya juga sebagai satu kayu ukur kepada atlet yang menjalani latihan sepanjang tahun di bawah Majlis Sukan Daerah," katanya pada sidang media di Shah Alam, petang tadi.
Tambah Najwan, Sukses juga dijadikan platform untuk mencari dan menggilap bakat baharu anak muda dari setiap daerah yang kemudian diserap sebagai atlet ke dalam skuad Selangor untuk bertanding dalam Sukan Malaysia atau Sukma.
"Pada masa sama kita melaksanakan kejohanan ini bagi mencungkil bakal atlet untuk diketengahkan dalam kejohanan di peringkat negeri, kebangssan dan antarabanagsa.
"Sukan yang terlibat dalam Sukses ini adalah jenis sukan yang dipertandingkan di Sukma, dengan mengambil kira penyertaan 9 daerah.
"Ada 7 jenis sukan yang dipilih pada edisi ke 14, iaitu sukan olah raga, pencak silat, bowling padang, pinpong, petong dan berbasikal," katanya.
Untuk Sukses kali ini, ujar Najwan, kesemua 9 daerah akan mengambil bahagian dalam sukan di bawah umur 21 tahun itu.
Manakala menjawab soalan wartawan mengenai cuaca tidak menentu menjelang monsun Timur Laut yang memungkinkan sekitar tempat penganjuran dilanda banjir Najwan berkata, perkara itu telah pun dibincangkan bersama pihak berkuasa yang terbabit.
"Lokasi pengajuran Sukses dipastikan bukan kawasan banjir dan tidak menjadi Pusat Pemindahan Sementara sekiranya berlaku banjir di kawasan sekitar," katanya dan menambah dalam acara berbasikal andainya laluan dinaiki air maka laluan baharu akan digunakan bagi memastikan acara boleh berjalan sebagaimana dirancang.
Comments