Suiz pemati diguna jika konsert Coldplay langgar syarat


Suis pemati atau kill switch akan digunakan semasa konsert kumpulan Coldplay yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini bagi menghentikan serta-merta persembahan sekiranya ia melanggar peraturan, tegas Menteri Komunikasi dan Digital.
Ahmad Fahmi Fadzil berkata, penggunaan kaedah itu telah dibincangkan bersama Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) serta penganjur konsert berkenaan.
"Perbincangan dengan PUSPAL dan penganjur adalah positif. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga berkata bahawa kumpulan itu sangat menyokong Palestin.
"Kami positif dengan penganjuran konsert itu," kata Fahmi Fadzil kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak CxO Pemimpin Transformasi Digital: Transformasi Digital Pintar dalam Era 5G di Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah menggesa konsert itu dibatalkan bagi menghormati situasi semasa di Gaza, Palestin selain bimbang insiden tidak senonoh yang dilakukan kumpulan pop rock The 1975 pada Julai lalu berkemungkinan berulang.
Konsert kumpulan Coldplay dari British di Bukit Jalil malam ini merupakan sebahagian siri jelajah Music of the Spheres World Tour.
Semalam Perdana Menteri memaklumkan bahawa kumpulan Coldplay menyokong Palestin dan mahu berbincang dengan pihak mufti mengenai perkara itu.
Bercakap di Dewan Rakyat semalam, Anwar menjelaskan kelulusan konsert itu dibuat ketika kerajaan terdahulu.
"Saya akan berbincang dengan mufti kerana ada pelobi-pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada menteri luar (Zambry Abdul Kadir) dan kepada pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.
"Oleh kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita bersetuju, itu saya akan bincang semula," katanya semasa Waktu Soalan Perdana Menteri.




Comments