Suhaizan seru pengundi tunai tanggungjawab, peratusan terlalu rendah


Peratusan keluar mengundi yang terlalu rendah agak menyukarkan calon Pakatan Harapan (PH) di parlimen Pulai.
Jumlah keluar mengundi mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya sehingga pukul 12 tengah hari tadi adalah sekitar 24% di Pulai. Jumlah itu terlalu rendah dan mungkin peratusan yang paling rendah pernah dicatat sepanjang sejarah pilihanraya kawasan itu.
Justeru calon PH, Suhaizan Kayat menyeru pengundi untuk keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka segera.
"Saya Suhaizan Kayat telah menunaikan tanggungjawab saya di parlimen Pulai ini.
"Saya bersama isteri telah turun mengundi pada jam 9 pagi tadi dan kita harap semua pengundi pengundi berada di Parlimen Pulai dapat turun segera awal pagi ini untuk mengelakkan kesesakan di waktu petang," katanya dalam siaran Tiktok beliau.
Faktor kekurangan pengundi pada sebelah pagi tadi mungkin diakibatkan cuaca kurang baik dan hujan di kawasan Pulai.
PH mengharapkan peratusan keluar mengundi meningkat pada sebelah petang terutama daripada etnik Cina yang mampu menentukan kemenangan.
Suhaizan dan isterinya mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Taman Melati, Pulai.




Comments