top of page

Suhaizan mahu kemenangannya buktikan PH - BN boleh tadbir negara

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 27, 2023
1 min read


Oleh: Noraini Nordin


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mahu menjadikan kemenangannya pada 9 September nanti sebagai bukti bahawa PH dan BN boleh bekerjasama dengan baik mentadbir negara ini.


Katanya, sebagai calon Amanah yang mewakili Kerajaan Perpaduan, kemenangan beliau adalah penting sebagai mesej kepada rakyat di seluruh negara.


"Kita mahu Kerajaan Perpaduan ini terus stabil dan tidak tergugat, bukan saja untuk lima tahun akan datang, bahkan lebih lama daripada itu," tegasnya sewaktu berucap di Majlis Perasmian Bilik Gerakab P.161 Pulai, malam tadi.


Dengan itu, katanya, kemenangan dengan majoriti yang selesa adalah penting untuk dicapai.


Suhaizan turut mengimbas kerjasama antara PH - BN yang dipamerkan sewaktu penamaan calon, pagi semalam.


Menurut beliau, perarakan semasa penamaan calon itu memperlihatkan kerjasama yang erat antara kedua dua gabungan.

Berdasarkan semangat kerjasama itu maka beliau penuh yakin kemenangan akan diperolehi pada 9 September nanti.


Pun begitu beliau mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap selesa dengan majoriti lebih 30,000 undi yang diperolehi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.


"Jangan jadikan kemenangan selesa Allahyarham sebelum ini untuk kita bersikap ambil mudah dan tidak bekerja keras.


"Kita mesti terus bekerja agar kemenangan dengan majoriti besar diperolehi sekali lagi pada 9 September akan datang," ujarnya yang menyeru agar rakyat memastikan bilangan keluar mengundi yang tinggi pada 9 September ini.


Suhaizan berkata, sebagai Setiuasaha Politik Salahuddin sebelum ini, tugasnya memang membantu Allahyarham menjaga kawasan Pulai tersebut.


Beliau dengan itu memberi jaminan akan meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah digerakkan oleh Allahyarham untuk kebaikan para pengundi di Pulai.


"Segala apa yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat yang diusahakan Allahyarham, khusus berkaitan program-program Rahmah, akan saya teruskan selepas ini," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page