
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai Suhaizan Kayat berhasrat untuk memajukan penempatan Orang Asli di Kampung Bakar Batu dan Kampung Sungai Temon, Perling sebagai lokasi agropelancongan sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di situ.
Menurut bekas Speaker DUN Johor itu, kedudukan 2 perkampungan berkenaan yang berdekatan sungai berpotensi dimajukan sebagai lokasi pelancongan sekali gus dapat membuka ruang penjanaan ekonomi bagi komuniti Orang Asli.
"Kita berhasrat bangunkan kawasan ini, saya difahamkan kerajaan akan membina jeti baharu yang memberi kemudahan kepada penduduk Orang Asli, yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke sini.
"Apabila ada jeti yang cantik, ada bot yang akan bawa pelancong bersiar-siar, kawasan perkampungan yang menarik, ia akan dapat meningkatkan pendapatan penduduk," katanya selepas ziarah kasih di Kampung Bakar Batu pada Rabu.
Tambah beliau, selain tarikan lokasi, keunikan produk kraftangan dan kepelbagaian juadah tradisi Orang Asli juga dapat diketengahkan serta dipromosi kepada pelancong asing.
Sementara itu, Tok Batin Seletar di Kampung Orang Asli Kampung Bakar Batu, Kais Kee berkata cadangan menjadikan perkampungan komuniti itu sebagai produk pelancongan disambut baik penduduk.
Beliau berkata cadangan itu membuka peluang kepada penduduk untuk menjana ekonomi seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka yang majoritinya nelayan.