Percubaan menggemparkan negara dengan kemungkinan Kerajaan Perpaduan akan berganti kepada kerajaan Perikatan Nasional dalam masa terdekat ditempelak oleh Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Menurut beliau, perlu ada hadnya PN berpolitik. Jika mengakibatkan negara kucar kacir dan pelabur asing yang semakin pulih keyakinan kembali ragu ragu, maka rakyat kelak yang menderita kekurangan pekerjaan serta tidak akan mendapat kenaikan gaji akibat suasana ekonomi yang muram.
"Kelmarin, apabila ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memberi bayangan angka '126' dalam satu hantaran di Facebooknya, ahli politik kecoh dengan mengaitkan angka itu sebagai jumlah Ahli Parlimen yang akan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
"Saya bertanya, tidak bosankah pemimpin pembangkang setiap hari berangan untuk kembali berkuasa? Masa berkuasa 33 bulan dahulu pun gagal sehingga rakyat terpaksa menaikkan bendera putih, dan sekarang ini hendak cuba 'tebuk atap' 2.0 pula.
"Jika hendak uji pengaruh, pergi ke lantai dewan dan buat Undi Tidak Percaya. Jika tidak yakin untuk melakukannya, nasihat saya terimalah realiti PN itu adalah pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mantan profesor itu sebaliknya menasihatkan pembangkang untuk berhenti bermimpi dan saling berganding bahu dengan kerajaan semasa dalam membaiki ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.
Kata beliau, agenda menentang rasuah PM ke 10 seharusnya disokong terlebih dahalu bagi memulihkan keyakinan dalam negara.
"Rakyat mahukan kestabilan dan kemajuan ekonomi. Kalau kerap berpolitik, pelabur pun segan untuk datang.
"Saya tidak faham dengan pembangkang ini. Jika PMX yang bercita-cita untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah pun hendak ditumbangkan, apa lagi yang boleh diharapkan dengan orang politik ini, terutamanya yang mendakwa memperjuangkan Islam.
"Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini. Bagi ruang kepada PMX uruskan negara. Tunggulah PRU 16 supaya kita serahkan semula mandat kepada 20 juta pengundi membuat keputusan. Itu lebih absah," katanya.
Dr Agus turut memberikan pendapatnya bahawa Kerajaan Perpaduan pada ketika ini sukar digulingkan kerana telah mendapat perkenan dan diiktiraf oleh institusi raja.
Ujarnya, Raja raja Melayu buat masa ini tidak berminat dengan satu lagi siri ketidakstabilan politik dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
"Kembali kepada angka 126, boleh jatuhkah Kerajaan Perpaduan ini? Saya baharu selesai membaca monograf terbaharu Kai Otswald yang diterbitkan oleh ISEAS pada 2 Mei 2023 bertajuk Why Malaysia’s Unity Government will (probably) survive?
"Dapatan beliau hampir sama dengan pandangan saya. Sukar, jikapun tidak mustahil. Ini kerana PMX dan Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan daripada Raja-Raja Melayu, berhati-hati dalam mengendali hal ehwal Melayu-Islam, agenda Malaysia Madani mula meresap dalam sanubari bangsa Malaysia, PMX berkarisma dalam soal mengangkat martabat rakyat, melawan perasuah dan menoktahkan kemiskinan," katanya lagi.
Bagi rakyat yang masih terpengaruh dengan dakyah pembangkang, Dr Agus menasihatkan agar mereka kembali meneliti rekod kerajaan PN 33 bulan yang lalu. Apakah rekodnya lebih baik berbanding kerajaan semasa?
Ternyata, katanya, PN waktu ini gagal menjadi pembangkang yang mengkritik secara konstruktif dasar-dasar kerajaan serta menjalankan peranan semak dan imbang.
Comments