top of page

Gugat kerajaan: SekPur lapor polis, desak siasat dakwaan guna pelobi asing

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial (SekPur) membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan konspirasi yang didakwa bertujuan menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengerusi Biro Politik SekPur, Shahbudin Embun (gambar, tengah) berkata, laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Cawangan Khas polis terhadap dakwaan penggunaan firma pelobi asing untuk memburukkan imej kerajaan di peringkat antarabangsa.


"Tujuan laporan polis ini ialah bagi mendesak pihak berkuasa, khususnya PDRM dan Cawangan Khas, menyiasat satu konspirasi terancang yang bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, pendedahan terkini menunjukkan terdapat indikasi pihak tertentu didakwa melantik firma lobi antarabangsa bagi memburukkan imej kerajaan.


"Berdasarkan pendedahan terbaru terdapat indikasi kuat bahawa pihak-pihak tertentu yang didorong oleh dendam peribadi telah melantik firma lobi antarabangsa untuk memburukkan kerajaan," katanya.


Shahbudin turut mendakwa terdapat kemungkinan hubungan antara firma lobi tersebut dengan entiti yang sensitif dan bertentangan dengan prinsip kedaulatan negara.


"Apa yang lebih membimbangkan, firma-firma ini didakwa mempunyai hubung kait dengan entiti yang bertentangan dengan prinsip kedaulatan Malaysia, termasuk rangkaian yang mempunyai hubungan dengan Israel," katanya.


Beliau menyifatkan tindakan menggunakan pelobi asing untuk mempengaruhi politik domestik sebagai satu bentuk sabotaj terhadap kedaulatan negara.


"Membayar berjuta-juta ringgit kepada ejen asing untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan negara di pentas global adalah satu pengkhianatan kepada mandat rakyat," ujar beliau.


Sehubungan itu, SekPur turut mendesak beberapa agensi kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sumber dana yang didakwa digunakan bagi membiayai kegiatan lobi tersebut.


"Kami mendesak siasatan dijalankan termasuk oleh PDRM di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen," katanya.


Selain itu, beliau turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menyiasat aliran dana yang mungkin disalurkan kepada firma lobi di luar negara.


SekPur juga menggesa Kementerian Luar Negeri Malaysia atau Wisma Putra memantau aktiviti firma pelobi yang didakwa cuba mencemarkan imej diplomatik negara.


"Jangan kerana dendam kepada seorang individu (PM), kedaulatan negara digadai kepada pelobi asing.


"SEKPUR akan terus menjadi benteng hadapan bagi memastikan mandat rakyat dalam Kerajaan MADANI ini tidak dicatur oleh ejen luar," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page