'Sudah sudah seruan tinggalkan kerajaan, fokus bantu rakyat lebih baik'
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar), menegur kenyataan berulang Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Salleh, yang sering membangkitkan desakan supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Menurut Faezuddin, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak mendapat mandat majoriti ahli UMNO, malah berpotensi menggugat keharmonian serta kestabilan Kerajaan Perpaduan sedia ada.
"Nampak bersungguh betul nak keluar Kerajaan Perpaduan. Hampir setiap hari buat kenyataan ‘dah tiba masanya’, tetapi sampai sekarang masa itu tidak kunjung tiba," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, jika desakan tersebut tidak disusuli keberanian dan keputusan muktamad, adalah lebih baik kenyataan sedemikian tidak terus dimainkan kerana ia boleh mengganggu fokus Kerajaan Perpaduan yang kini sedang melaksanakan dasar serta polisi yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Kalau belum cukup berani, tak usah keluar kenyataan demi kenyataan yang boleh gugat keharmonian Kerajaan Perpaduan. Sebab kerajaan hari ini sedang fokus melaksanakan dasar dan polisi yang banyak beri manfaat kepada rakyat. Takkan YB tergamak melihat perjuangan murni Kerajaan Perpaduan ini diganggu?" tanyanya.
Faezuddin turut mempersoalkan sokongan sebenar dalam UMNO terhadap desakan tersebut, sambil menyifatkan ia hanya disuarakan oleh segelintir pemimpin.
"Saya lihat hanya YB dan beberapa kerat pemimpin UMNO sahaja yang menyokong desakan ‘sudah tiba masanya’.
"Kebanyakan kita lihat pemimpin UMNO diam atau sependapat dengan YB Ahmad Maslan yang dengan terbuka menyatakan adalah satu kerugian jika UMNO jadi pembangkang," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik agar menghentikan polemik tidak perlu dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membantu rakyat.
"Sudah-sudahlah YB. Jom kita fokus bantu rakyat. Itu sepatutnya menjadi keutamaan kita sekarang," katanya lagi.
Semalam, Akmal sekali lagi membuat gesaan menunggalkan kerajaan di media sosial selepas veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah membuat sidang media berikutan kes Titah Adendum Najib Razak yang ditolak mahkamah.









Comments