Subsidi ternakan ayam sukar dipohon punca bekalan terganggu - Sim Tze Tzin



Kerajaan BN - PN seharusnya mengkaji secara terperinci punca penternak gagal menternak ayam memenuhi permintaan atau menangguhkan usaha niaga mereka.


Menurut Jurucakap Pertanian dan Komoditi KEADILAN, Sim Tze Tzin yang melakukan lawatan ke beberapa ladang ternakan ayam baru baru baru ini, isu subdidi yang dijanjikan tetapi tidak diperolehi adalah masalah utama yang dihadapi penternak selain kenaikan harga makanan ayam.


Katanya, walaupun Kerajaan mengumumkan subsidi 60 sen sekilo, tetapi mekanisma untuk mengemukakan permohonan subsidi sangat rumit dan berbeza-beza antara satu negeri dan negeri yang lain.


"Proses permohonan tidak jelas. Pelbagai dokumen dan kertas kerja diperlukan. Borang permohonan yang lengkap dikemukakan itu perlu melalui pelbagai tapisan.


"Para penternak terpaksa menghadapi dugaan demi dugaan dan yang paling mengecewakan ialah permohonan mereka ditolak. Hal ini menjadikan penternak pening.


"Majoriti penternak masih belum mendapat subsidi walaupun skim itu telah dilaksanakan selama 4 bulan sejak Februari lalu.


"Karenah birokrasi dan ketidakcekapan pentadbiran inilah yang menyebabkan objektif subsidi kos input pertanian lewat dan tidak sampai kepada para penternak," kata Sim dalam kenyataan hari ini.


Tegas beliau, senario kegagalan skim subsidi itu merupakan punca utama bekalan ayam kurang di pasaran dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak memahami kesukaran yang ditanggung para penternak.


Katanya, kegagalan memahami keadaan menyebabkan harga ayam tidak dapat dikawal dan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran.


"Dalam hal ini yang terpaksa menanggung derita adalah rakyat jelata yang terpaksa membayar harga ayam yang tinggi. Ada pula tak mendapat bekalan di pasaran," katanya.


Sebaliknya Ahli Parlimen Bayan Baru itu kehairanan melihat cara penyelesaian masalah kerajaan BN - PN, khususnya tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri semalam yang mengumumkan pemberhentian skim subsidi mulai bulan Julai.


Kata Mantan Timbalan Menteri Pertanian itu, setelah masalah sebenar industri gagal dikenalpasti oleh kerajaan, kini mereka menambah parah industri dengan membiarkan penternak terkapai kapai menghadapi krisis kenaikan harga bahan makanan ternakan akibat perang di Eropah, yang akan menyukarkan lagi survival industri tersebut pada masa hadapan.


"Walaupun skim subsidi telah diberhentikan, saya menyeru Menteri MAFI segera meneliti masalah mekanisma pemberian subsidi dan mempermudahkan segala proses permohonannya.


"Pemberian subsidi harus terus diberikan kepada kesemua penternak sepanjang tempoh 5 Februari hingga 1 Julai seperti yang dijanjikan.


"Semoga kerajaan mengambil iktibar daripada skim ini dan tidak mengulangi kegagalan itu pada masa depan," kata Sim lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER