Subsidi petrol hujung Sept, pastikan cip MyKad berfungsi - Saifuddin
- Suara Keadilan
- Sep 19
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Masyarakat diingatkan supaya memeriksa keadaan cip pada kad pengenalan (MyKad) masing-masing bagi memastikan kelancaran proses menikmati subsidi bersasar petrol RON95 yang akan mula dilaksanakan mulai hujung September ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, subsidi bersasar hanya boleh dinikmati apabila MyKad digunakan sebagai pengesahan identiti ketika mengisi minyak.
''Kalau cip rosak atau tak boleh dibaca, jangan risau. Anda boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. InsyaAllah, siap hari yang sama. Mudah dan cepat!
''Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya rakan-rakan dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia,'' katanya dalam satu muat naik di Facebook rasmi beliau.
Tambah Saifuddin lagi, Kerajaan MADANI terus komited untuk membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan sekali gus memakmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
''InsyaAllah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar tunaikan janji kepada rakyat Malaysia, hujung bulan ini harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar.
''Walaupun ambil masa sikit, tapi beliau tetap tunaikan janji. Beliau seorang yang berpegang pada kata-kata. 'A man of his words' dan setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia,'' kata Saifuddin.
Subsidi bersasar petrol telahpun diumumkan oleh PM lebih dua bulan lalu dan dijangka akan dilaksanakan pada hujung Sept ini selepas penyasaran subsidi diesel dilakukan tahun lalu.
Comments