Subsidi perlu diselaras semula, elak diguna pihak lain - KPDN
- Suara Keadilan
- Jan 11, 2024
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan langkah kerajaan untuk menyelaras semula subsidi adalah amat perlu.
Melalui satu kenyataan, Armizan berkata ia bagi memberi manfaat kepada mereka yang berhak, bukan digunakan oleh pihak lain sehingga memberi kesan kepada kerajaan yang membayar subsidi.
"Amalan sejak dulu tidak ada larangan kepada warga asing beli minyak masak bersubsidi di pasaran runcit. Inilah kesan pemberian subsidi pukal sama seperti minyak petrol dan diesel di stesen minyak.
"Itu sebabnya penyasaran semula subsidi perlu dilaksanakan," katanya.
Sementara itu tambahnya, Kerajaan Persekutuan komited untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar yang akan hadir bersama jaminan bantuan sosial termasuk bantuan tunai subsidi bersasar.
Dasar subsidi bersasar tegasnya tidak bermaksud bahawa subsidi akan ditarik sepenuhnya, sebaliknya ia melibatkan reformasi dalam pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.
Berikutan itu, beliau menggesa orang ramai untuk membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah dilancarkan Perdana Menteri pada 2 Januari lalu.
Comments