Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) sedang menjalankan kajian data ke atas Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) untuk mendapatkan fakta jelas berapakah penggunaan minyak masak bersubsidi dan keberkesanannya kepada golongan sasar.
Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata demikian dalam sesi tanya jawab menteri menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) di Dewan Rakyat pagi tadi.
"KPDN bertanggungjawab mengawal selia Skim Penstabilan Harga Minyak Masak atau pun COSS. Pada 2016 Jemaah Menteri meluluskan kuota sebanyak 60,000 metrik tan untuk dikeluarkan sebagai minyak masak bersubsidi. Jadi ada 360 syarikat pembungkus diagihkan kuota
"Subsidi di bawah skim penstabilan ini merupakan subsidi pukal. Itu dasar sebelum ini. Pada ketika itu, ia dihasrat untuk manfaat isi rumah. Pada 2021 kementerian buat projek rintis sistem e-COSS, di mana e-COSS ini diperkenalkan untuk membolehkan KPDN memantau rantaian bekalan dari kilang penapis kepada pembungkus, kemudian kepada pemborong dan seterusnya peruncit
"Pada bulan Ogos 2022 sistem ini berjalan. Untuk menjawab persoalan, sistem ini berhenti di peringkat peruncit kerana ditambah baik untuk sampai ke peringkat pengguna.
"Oleh kerana ia bersifat subsidi pukal maka kementerian setakat ini tidak dapat mengukur berapa isi rumah yang menerima agihan dan berapa banyak peniaga mikro beli," katanya.
Dalam soalan tambahan, Johari berkata, COSS didapati kurang berkesan dalam memberikan golongan B40 subsidi minyak masak kerana melibatkan peruntukan yang besar sedangkan minyak tersebut pula tiris dan dijual ke sektor lain.
Katanya, minyak masak bersubsidi pernah dieskport secara haram, kemudian dijual kepada syarikat mikro dan terakhir didapati digunakan untuk membuat biodiesel.
Johari mencadangkan agar kerajaan memberi sumbangan tunai kepada golongan B40, berupa perbezaan harga pasaran dan harga jualan bersubsidi yang ditetapkan kerajaan ketika ini bernilai RM2.50 sepeket.
Bagaimanapun, Fuziah memberitahu, pihak kementerian akan melaksanakan satu sistem baharu subsidi bersasar dan tidak menolak ianya boleh ditambah baik dengan cara sumbangan tunai tersebut.
"Kita tidak akan teruskan perkara (pemberian subsidi pukal) yang sama. Kementerian lihat golongan wajar terima subsidi B40 dan sebahagian M40, dan kita anggarkan 5.8 juta isi rumah layak terima subsidi
"Bila kita beri subsidi pukal tidak menyasarkan peniaga mikro. Kita merasakan peniaga juga perlukan subsidi minyak masak. Jadi bila data kita terima dari PADU nanti, kita dalam kedudukan boleh laksanakan penyasaran subsidi.
"Saya setuju dengan Titiwangsa, (kaedah) cash transfer mungkin cara terbaik," katanya.
Comentarios