Subsidi gaji enam bulan perlu dilanjutkan - Abdullah Sani




Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa melanjutkan skim subsidi gaji kepada majikan daripada tempoh enam bulan kepada jangka masa yang lebih panjang.


Menurut Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, subsidi gaji RM600 yang diwujudkan sekarang ini mungkin merupakan talian hayat sementara sehingga September 2020 sebelum majikan membuang pekerja. Hal ini kerana sesetengah sektor tidak mampu mengembalikan perniagaan seperti mana sebelum pandemik Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.


Katanya, Malaysia perlu mencontohi negara yang lebih ke hadapan dalam mempertahankan ekonomi seperti Singapura yang memberi subsidi gaji sehingga lebih 50% daripada pendapatan bulanan pekerja serta tempohnya pula lebih lama.


"Masalah kita, kesungguhan dari pihak kerajaan untuk membantu syarikat dan rakyat itu kurang, subsidi patut dilanjutkan untuk majikan jana pendapatan dalam keadaan hari ini.


"Saya tak nampak akan berlaku pemulihan ekonomi kalau tak ada kerangka yang jelas dalam pakej pemulihan," katanya.


Abdullah juga menyelar kerajaan yang lambat bertindak ke atas sektor tertentu dalam mengekang pemberhentian pekerja.


Manakala bagi sektor yang sukar diselamatkan seperti perhotelan, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan skim latihan semula secara besar-besaran ke atas para pekerja yang ditamatkan perkhidmatan supaya mereka mampu menceburi sektor lain apabila ekonomi negara kembali pulih kelak.


"Kita tengok beberapa industri berhadapan isu pembuangan pekerja, ini kerana tiada langkah awal dilakukan kerajaan untuk mengekang masalah ini.


"Apa langkah pun perlu sistematik, mampu menarik pelaburan bagi membina semula ekonomi. Kena beri ruang kepada mereka ini untuk pulihkan ekonomi," katanya.


Untuk rekod program subsidi upah atau gaji diperkenalkan kerajaan pada 27 Mac 2020 selama 6 bulan bagi pekerja yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah RM4,000. Majikan boleh memohon subsidi tersebut kepada kerajaan dengan syarat tidak membuang pekerja.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio