
Subsidi yang dikurangkan dalam Belanjawan 2024 tidak bermakna rakyat akan menghadapi kenaikan harga barang.
Hal itu ditekankan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penggulungan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat petang tadi.
Menurut beliau, sekiranya harga barang naik disebabkan polisi subsidi bersasar yang mengenepikan warga asing serta golongan maha kaya, maka Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan ditingkatkan.
"Program subsidi seperti (menurunkan harga) minyak, ayam, semua ini dapat manfaat kepada golongan kaya. Kita nak elak daripada ini berlaku sebab itu kita buat penyasaran subsidi.
"Dan kalaulah dengan cara ini rakyat terbeban, harga gula naik, tepung naik, kita tidak akan ubah dasar subsidi tetapi kita beri tambahan STR yang melibatkan 9 juta rakyat yang mendapat faedah daripada bantuan kerajaan, untuk mengurangkan beban mereka," katanya.
Terdahulu, Anwar membariskan alasan perlunya subsidi bersasar dilaksanakan kerana subsidi minyak diesel sahaja, kata beliau, telah amat membebankan kewangan kerajaan.
"Kita tahu harga diesel subsidi RM2.15 seliter ketimbang harga pasaran RM3.78. Kita subsidi kepada 3.5 juta orang asing, kita subsidi kepada golongan maha kaya.
"Ada yang bangkitkan kenapa saya sebut maha kaya, saya tidak menentang orang kaya. Maha kaya ini kerana ketegori tidak boleh dapat sedekah dan subsidi, itu sahaja point dia. Bukan kita marah sebab kaya.
"Kos untuk (subsidi bahan api) tahun ini, RM81 bilion dan kita bayar kepada 3.5 juta orang asing juga maha kaya. Tetapi nelayan yang menerima subsidi diesel, itu diteruskan. Juga kenderaan diesel dalam kategori pengangkutan awam termasuk van, bas sekolah. Itu kekal (harga diesel) RM1.88 sen seliter," katanya
Berkenaan subsidi harga ayam yang ditarik balik, Anwar menegaskan bukti harga di pasaran menunjukkan harga sumber protein utama rakyat itu kekal di bawah harga siling selepas dua hari subsidi ditarik.
"Harga ayam semalam dan hari ini terkawal, cuma saya tidak nafikan di setengah tempat ada juga laporan tentang harga agak tinggi.
"Saya ada senarai harga ayam hari ini. Perlis murah RM6.90 sen (sekilo), yang tinggi di Labuan, di Sabah dan Sarawak. Sebab itu arahan kita skim Rahmah ditambah di Labuan, Sabah dan Sarawak," katanya.
Dalam ucapan penggulungan itu juga Menteri Kewangan yakin Kerajaan Madani akan berjaya menghapus golongan miskin tegar pada 2023 atau selewatnya 2024 dengan menaikkan nilai STR kepada golongan terkesan.
"Kalau keluarga termiskin boleh dapat RM3,700 (setahun) ini memudahkan kita menokhtahkan kemiskinan tegar," katanya lagi.
Comments