top of page

Subsidi dipertahan, edaran bahan mentah makanan diperluaskan - PM



Kekurangan bekalan bahan mentah makanan dan intevensi kawalan harga menguasai agenda mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup negara (NACCOL) bilangan 2, tahun 2023 tengah hari tadi.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, meskipun kadar inflasi dalam negara telah mereda ke paras 2.0%, iaitu terendah dalam tempoh hampir dua tahun namun isu ketiadaan bekalan beras dan bahan makanan lain telah menjadi tekanan kepada rakyat.


Oleh itu, katanya, kerajaan bersetuju meneruskan polisi intevensi bekalan dan harga melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.


"Inisiatif ini diteruskan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat.


"Agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah diarahkan untuk lebih proaktif untuk bertindak sebagai agensi pengedar Beras Putih Tempatan (BPT) terutama bagi kawasan kawasan pedalaman, sebagai usaha mengurangi kesulitan kepada rakyat dalam mendapatkan bekalan beras susulan langkah intervensi yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut PM lagi, mesyuarat juga telah berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari 2022. Amat penting hala tuju kawalan harga ayam dan telur dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.


Selain itu, katanya, Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya rakyat mampu untuk membuat pilihan terbaik.


"Adalah menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga. Mesyuarat bersetuju supaya perkara ini diperincikan oleh Kementerian sebelum dimuktamadkan.


"Kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.


"Kesemua perkara ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh masa terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan," ujarnya.


Mesyuarat NACCOL juga katanya, mendapatkan penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai perkhidmatan e-dompet yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR dan telah diumumkan bahawa bank akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.


Juga, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan pembayaran, terutamanya penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil.


"Saya turut mengulangi penekanan agenda utama Kerajaan Perpaduan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat agar diberikan perhatian serius.


"Saya juga menyeru agar semua agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani terus diperkukuh," katanya lagi.


Mesyuarat NACCOL dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, pemain industri, wakil badan bukan kerajaan (NGO), wakil pertubuhan dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli Majlis NACCOL.


* Foto kredit: Afiq Hambali PMO

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page