top of page

Subsidi cecah RM5 bilion sebulan, harga minyak di Malaysia masih rendah - PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 days ago
  • 3 min read
PM menjelaskan keupayaan negara mengekalkan harga minyak murah merupakan suatu rekod baik kesan penjimatan dan tatakelola berhemah di Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan  Kelestarian Alam
PM menjelaskan keupayaan negara mengekalkan harga minyak murah merupakan suatu rekod baik kesan penjimatan dan tatakelola berhemah di Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam

Kerajaan kini menanggung subsidi bahan api sehingga mencecah kira-kira RM5 bilion sebulan susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik geopolitik, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata peningkatan mendadak itu memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara berbanding sekitar RM700 juta sebulan sebelum ini.


"Selang berapa bulan, naik RM5 bilion sebulan. Jadi, saya masih kata okey, tapi KSP [Ketua Setiausaha Perbendaharaan] dan KSU [Ketua Setiausaha Kementerian] kata tidak boleh, kerana tidak mampu dana yang ada ini menampung sebulan, okey, dua bulan, okey, tiga bulan, enam bulan.


"Jadi sebab itu, kita kata penyelarasan subsidi. Sekarang kita sudah usahakan penyelarasan subsidi untuk diesel kerana bocor banyak, tiris banyak, seludup pun masih ada.


"Jadi kita masih. Tapi itu pun diesel, ada yang katakan… saudara, kalau baca dalam media sosial harga naik, dia tidak sebut langsung harga subsidi," ujarnya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Putrajaya hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata gangguan laluan laluan penting perdagangan tenaga di Selat Hormuz meningkatkan kos logistik, insurans dan keselamatan penghantaran minyak, sekali gus menyebabkan harga bahan api global melonjak.


Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia masih bernasib baik kerana bekalan minyak dan gas negara kekal terjamin hasil hubungan baik dengan beberapa negara termasuk Iran dan Rusia.


Dalam pada itu, kerajaan tetap mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat, walaupun berdepan tekanan kewangan yang tinggi.


Anwar berkata langkah penyasaran subsidi seperti program BUDI MADANI dan subsidi diesel bersasar dilaksanakan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Beliau turut mengakui kos sara hidup masih menjadi cabaran terutamanya kepada peniaga kecil dan kerajaan sedang meneliti langkah tambahan untuk mengurangkan beban rakyat.


"Sebahagian kita mampu bantu, tetapi tidak semua. Kita perlu urus dengan bijak dalam keadaan ekonomi global yang mencabar," katanya.


Anwar menjelaskan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk subsidi diesel bersasar bagi mengurangkan beban rakyat termasuk kadar RM1.88 seliter di bawah SKDS, RM2.15 untuk sektor pengangkutan darat barangan, serta RM1.65 bagi nelayan.


"Selain itu, bantuan tunai BUDI MADANI sebanyak RM200 turut diberikan kepada individu yang layak, khususnya dalam sektor agri-komoditi," katanya.


Beliau turut mempertahankan kadar subsidi berbeza untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, yang ditetapkan pada RM2.15 seliter dengan mengambil kira faktor geografi dan kos logistik yang lebih tinggi di wilayah berkenaan.


"Ada yang kritik kenapa beri kelebihan kepada Sabah dan Sarawak, tetapi mereka tidak faham realiti demografi dan pengangkutan di sana," katanya.


Menurutnya, walaupun wujud isu ketirisan dan penyeludupan, langkah penyasaran subsidi adalah bagi mengelakkan pembaziran tanpa membebankan golongan seperti petani, nelayan dan peniaga kecil.


Beliau berkata setakat ini, puluhan ribu penerima telah mendapat manfaat termasuk lebih 10,000 nelayan dan sekitar 200,000 penerima di bawah BUDI MADANI.


"Ini subsidi bersasar kepada yang layak, bukan untuk semua," katanya.


Mengulas perbandingan harga dengan negara jiran, Anwar berkata dakwaan harga diesel Malaysia lebih tinggi tidak mengambil kira subsidi yang dinikmati rakyat.


"Kalau banding harga pam RM5.12 dengan negara lain, mungkin nampak tinggi. Tetapi tidak disebut harga subsidi RM2.15 yang dinikmati lebih setengah juta rakyat," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan berjaya mengekalkan kestabilan harga ayam dan telur tanpa perlu meneruskan subsidi tahunan yang sebelum ini mencecah berbilion ringgit.


"Dulu kita belanja lebih RM5 bilion untuk subsidi ayam dan telur. Sekarang kita kawal harga melalui rundingan dan pemantauan, tanpa beban subsidi besar," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page