Kerajaan sedia menambah kadar bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) jika pelaksanaan subsidi bersasar memberi kesan kepada golongan rentan dan memerlukan.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan 2023 di Putrajaya malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pentadbirannya tidak akan mengubah pendiriannya berhubung rasionalisasi subsidi bersasar yang direncanakan memandangkan pelaksanaan subsidi pukal tidak lagi relevan dan mampan tatkala kos menampung terus membengkak setiap tahun.
"Subsidi kepenggunaan pada 2022 saja berjumlah RM77.3 bilion yang meliputi subsidi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik, lantas menjadikan ia jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah.
"Tidak ada kerajaan yang mampu dengan amalan subsidi sekarang. Tapi subsidi yang mahu ditarik tidak harus membebankan rakyat. Jadi diharap hal ini difahami.
"Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan mengesankan kepada rakyat, kita akan tambah STR supaya mereka dapat tampung kerugian itu," katanya dipetik.
Comments