Kongres Suara Anak Muda: Manifestasi reformasi Kerajaan Madani


Kongres Suara Anak Muda bakal menjadi satu inisiatif menghubungkan keresahan anak muda kepada pemimpin Kerajaan Perpaduan tanpa perlu mereka vokal dalam tunjuk perasaan atau melantik pembangkang yang kuat ke parlimen.
Pengerak inisiatif Suara Anak Muda, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Tyra Hanim Razali berkata, inisiatif berbentuk kongres tersebut akan memberi peluang kepada kumpulan yang kurang didengari seperti Orang Asli, Urbanis, Doktor Kesihatan Awam, Mahasiswa dan lain lain untuk mengetengahkan masalah mereka agar didengar dan diselesaikan.
"Baru-baru ini, sebagai Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, saya telah melancarkan sebuah inisiatif yang dinamakan Suara Anak Muda #IniMasaKami bersama YB Lee Chean Chung sebagai pimpinan patron.
"Inisiatif berbentuk Kongres ini bertujuan untuk memberikan platform kepada anak anak muda untuk menyuarakan isu dan masalah yang mereka hadapi sejak sekian lama.
"Mereka terdiri daripada kumpulan marginal dan profesional muda yang paling banyak terkesan dengan masalah struktur politik dan ekonomi yang membarah selama lebih 60 tahun.
"Sedangkan ruang dasar awam kebiasaanya dihuni oleh mereka yang tidak betah dengan kehidupan rakyat kebanyakan menjadikannya ‘echo chamber and elitist bubble’.
"Namun pendekatan baru Malaysia Madani adalah inklusif. Oleh itu, sebagai sayap pemuda kami mengambil tanggungjawab untuk mengketengahkan suara mereka dalam bentuk yang konstruktif," katanya dalam satu kenyataan.
Tyra yakin nilai tambah atau platform baharu yang dibawa AMK kali ini akan diterima golongan muda secara umumnya dan dalam masa sama mereka akan memberikan idea segar dan cadangan solusi kepada kerajaan.
Katanya, terdapat pelbagai polemik di sekitar isu anak muda Malaysia. Apatah lagi dengan undi18 pada Pilihan Raya Umum 15 lalu yang mana ramai antara mereka terpengaruh dengan sentimen kaum dan agama yang dimainkan oleh lawan politik.
Hal itu, katanya, menyebabkan politik nasional menjadi regresif apabila sentimen perkauman dimainkan secara berulang-ulang.
"Dengan mengangkat isu-isu anank muda golongan rentan dalam bentuk konstruktif seperti resolusi status quo dan dasar awam, akan membezakan tahap ‘discourse’ atau perbahasan politik antara KEADILAN dan juga Perikatan Nasional.
"Ini juga akan mengalih perhatian anak-anak muda terhadap politik 3R (Race, Religion, Royal) kepada sesuatu yang lebih substantif.
"Juga penting bagi pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan pimpinan KEADILAN untuk mendengar keluh kesah anak-anak muda pelbagai golongan di samping mengekalkan sokongan tradisi mereka iaitu di kawasan bandar dan golongan berpendidikan," ujarnya.
Tambah Tyra lagi, sesi perbincangan telah diadakan selama lebih sebulan yang lalu. Dengan input tersebut, katanya, AMK akan menjadikannya sebuah dokumen bertulis serta resolusi yang akan disumbangkan kepada Naratif Ekonomi Madani.
"Kami juga tekad untuk mengepalai lebih banyak sesi libat urus antara pemegang taruh di peringkat akar umbi bersama kementerian kementerian yang terlibat selepas Kongres ini diadakan.
"Termasuklah memperluaskan perbincangan kepada isu yang lebih kompleks seperti pembiayaan politik, percukaian dan kepelbagaian hasil kerajaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak lebih ramai anak muda untuk terlibat dengan inisiatif Suara Anak Muda serta sokongan padu daripada barisan kepimpinan Kerajaan Madani dan KEADILAN amat dihargai.
Tyrah Hanim akan melancarkan Kongres Suara Anak Muda yang akan berlangsung di PJ Live Arts, Petaling Jaya pada 15 Julai ini.




Comments