SU Agung Dr Fuziah bakal rasmi Kongres AMK, Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan
- 35 minutes ago
- 1 min read

Perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR 2025 dijadual berlangsung di Johor Bahru yang secara tradisi dilakukan oleh timbalan presiden parti esok akan disempurnakan Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh.
Fuziah yang mengesahkan perkata itu memberitahu beliau diberikan tanggungjawab tersebut dan menerimanya, demikian lapor media tempatan.
Persoalan mengenai siapakah yang akan merasmikan kongres sayap parti itu timbul apabila Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Rafizi Ramli menolak undangan melalui sepucuk surat kepada Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Fuziah berkata tanggungjawab merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR 2025 diberikan kepadanya setelah pemimpin utama lain terlibat dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
"Saya akan menyentuh tema kongres kali ini, 'Kita KEADILAN' supaya ia dijadikan roh dan pegangan AMK dan Wanita PKR, selain semangat perpaduan dan keperluan untuk kita merapatkan semula barisan selepas selesainya pemilihan MPP.
"Proses pengukuhan parti seperti yang dilakukan ketika Jelajah Pra Kongres perlu diteruskan bagi memastikan hubungan kita kembali bertaut dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya dipetik dari BH Online.
Laporan media sebelum memetik Fuziah meminta Rafizi mempertimbang semula keputusan untuk tidak merasmikan kongres bersama berkenaan sebagai timbalan presiden parti bagi mengekalkan tradisi dalam KEADILAN sejak sekian lama.
Rafizi dilaporkan tidak berminat merasmikan kongres bersama terutamanya AMK kerana beliau ingin memberi tumpuan kepada pemilihan MPP.