Hari terakhir pengundian fizikal kali kedua Pemilihan KEADILAN 2022 menyaksikan terdapat usaha sesetengah pihak yang menggunakan strategi menukar cai pasukan lawan.
Hal itu didedahkan oleh calon Exco Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syaril Ali Showkat Ali, yang berkata cai pasukan Ayuh Anak Muda telah dipadam serta ditukar indentiti beberapa orang pimpinan dan mengekalkan pimpinan yang lain.
"Mutakhir ini, isu menukar cai calon pimpinan pusat pasukan Ayuh Anak Muda menjadi bualan hangat di beberapa cabang yang menjalankan pemilihan pada kali kedua.
"Strategi menukar cai, menconteng dan menampal gambar calon pihak lawan adalah teknik yang digunakan sebagai peluru akhir untuk meraih undi tertinggi.
"Kami mendapati beberapa orang peraih undi telah dihantar untuk mengubah cai supaya undi lebih diperoleh oleh pihak lawan," katanya.
Menurut beliau lagi, beberapa bahan bukti perlakuan itu juga turut tersebar di media sosial sejak dua hari lepas.
Beliau menasihatkan agar pasukan dalam pemilihan kali ini bertanding dengan cara yang sihat dan mendidik pengundi muda memikul prinsip keadilan.
"Secara peribadi, saya tidak berhasrat untuk menunding jari dalam pertandingan keluarga besar KEADILAN dan menyeru supaya semua jalur pasukan yang bertanding menghentikan segera strategi bacul yang meruntuhkan akhlak serta kepercayaan ini," katanya lagi.
Comments