Strategi Syam Ghaz di JKOM: Pendekatan komunikasi agresif, responsif
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 2 min read

Pelantikan Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) terus mencetuskan perdebatan apabila pendekatan komunikasinya yang agresif menjadi perhatian pelbagai pihak.
Terdapat pihak mempersoalkan pendekatan yang didakwa membawa JKOM keluar daripada fungsi asalnya sebagai agensi penerangan kerajaan.
Kritikan itu timbul susulan gaya komunikasi Syam yang lebih lantang, responsif dan tidak lagi sekadar menunggu serangan sebelum bertindak.
Bagi bekas wartawan kanan Utusan Malaysia, Borhan Abu Samah, pendekatan tersebut dilihat selari dengan perubahan landskap komunikasi semasa, khususnya dalam era media sosial yang pantas dan dipenuhi persaingan naratif.
"Dalam era perang persepsi yang berlaku setiap hari, naratif yang tidak dijawab segera sering dianggap benar oleh sebahagian masyarakat," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau menjelaskan bahawa prinsip “the best defence is offence” kini semakin relevan dalam komunikasi politik moden.
"Mempertahankan kerajaan bukan sekadar dengan menjawab serangan, tetapi mengambil inisiatif menyerang fitnah, membongkar maklumat palsu dan membentuk naratif lebih awal sebelum lawan menguasai ruang perbincangan," katanya.
Tambah beliau, pendekatan defensif yang diamalkan sebelum ini menyebabkan JKOM sering dilihat ketinggalan dalam menguasai naratif awam dan hanya bertindak dalam situasi ‘damage control’.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pendekatan agresif juga mempunyai risiko tersendiri.
"Jika terlalu pasif, agensi itu akan terus dilihat gagal mempertahankan dasar kerajaan dalam ruang media sosial yang semakin ganas dan tidak bersempadan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan mencari keseimbangan antara menjelaskan dasar kerajaan dan keupayaan menangani serangan persepsi.
"Menjelaskan dasar kerajaan mesti kekal sebagai tugas utama JKOM, tetapi dalam masa yang sama agensi itu juga perlu mempunyai keupayaan menyerang balas fitnah, maklumat palsu dan manipulasi persepsi yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," ujarnya.
Menurut beliau, masih terlalu awal untuk membuat penilaian muktamad terhadap kepimpinan Syam, namun pendekatan yang diperkenalkan jelas berbeza berbanding sebelumnya.
"Beliau sudah berjaya membuatkan ramai pihak bercakap tentang JKOM hanya dalam tempoh beberapa hari pertama memegang jawatan. Itu sendiri menunjukkan pendekatan beliau berbeza daripada kebiasaan," katanya lagi.




Comments