Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri memaklumkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional ((National Anti-Corruption Strategies, NACS) 2024-2028 akan dibentang esok di Parlimen.
Jelas Perdana Menteri, usaha itu adalah kesinambungan yang lalu tetapi dimantapkan dengan pendekatan lebih spesifik menyentuh isu-isu dasar dan strategi pelaksanaan.
"NACS menekankan lima strategi dan substrategi serta strategi penguatkuasaan termasuk Pendidikan, Kebertanggungjawaban Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan dan Insentif untuk membanteras rasuah.
"SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan kekalkan mana-mana pemantau termasuk Jawatankuasa Khas Rasuah yang dianggotai Ahli Parlimen terdiri daripada tiga wakil Kerajaan dan dua pembangkang. Saya akan pastikan perubahan ini berlaku kerana belum ada perubahan peranan pembangkang," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, NACS yang diluncurkan pada 7 Mei lalu adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dimulakan pada 2019.
NACS menyediakan rangka kerja dan menunjukkan arah jelas untuk membanteras rasuah di setiap peringkat.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, SPRM akan mengeluarkan garis panduan pengendalian sokongan anggota pentadbiran dalam urusan kerajaan termasuk surat sokongan yang sebelum ini tidak boleh dinyatakan.
Jelasnya, nota surat itu hanya perlu dinyatakan ia diberi ‘perhatian’ dan ‘dipertimbangkan’ dan bukannya ‘sokongan’.
"…Tidak boleh (surat) dinyatakan sokongan dalam urusan kerajaan untuk elak salahguna di mana seorang menteri dan setiausaha politik ataupun pegawai-pegawai kanan menyatakan sokongan padahal proses harus dipatuhi," ujarnya.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai fokus Kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan Kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028
Comments