Program penerangan SPNB mudahkan penduduk DUN Paya Jaras miliki rumah
- Suara Keadilan

- 29 minutes ago
- 2 min read

Oleh: ShaifulAnuar S
Program Penerangan Pemilihan Rumah Madani anjuran Wanita Cabang KEADILAN Sungai Buluh dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya membantu penduduk DUN Paya Jaras, Selangor memahami peluang pemilikan rumah menerusi Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Program yang berlangsung di Dewan Pusat Komuniti Desa (PKD), Paya Jaras Hilir itu disertai lebih 85 penduduk setempat yang hadir bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kaedah permohonan dan kelayakan skim berkenaan.
Ahli Lembaga Pengarah SPNB, Kamel Yassin berkata, Skim Rumah Mesra Rakyat memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri melalui bantuan dan subsidi yang disediakan kerajaan.

"Permohonan Skim Rumah Mesra Rakyat terbuka kepada penduduk yang berkelayakan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, sama ada memiliki tanah sendiri atau tanah yang telah mendapat kebenaran pembinaan," katanya ketika sesi penerangan, kelmarin.
Menurut beliau, SPNB menyediakan subsidi sehingga RM20,000 dengan kelayakan pembiayaan pembinaan rumah sehingga RM55,000, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
"Terdapat beberapa syarat tambahan lain perlu dipatuhi dan permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman web rasmi SPNB," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Wanita Cabang Sungai Buluh, Puan Sarimah Lisut berkata, sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar Paya Jaras menunjukkan keperluan tinggi terhadap maklumat berkaitan pemilikan rumah mampu milik.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak penganjur akan membantu bakal pemohon bagi memastikan proses permohonan secara dalam talian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
Program tersebut turut mendapat sokongan Persatuan Bakti Suri (PENYERI) yang diwakili Aniza Othman serta Timbalan Ketua Wanita Cabang Sungai Buluh, Norhaidah Kamarudin.
Program Penerangan Pemilihan Rumah Madani ini dilihat sebagai usaha proaktif dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat setempat serta membantu golongan berpendapatan rendah merealisasikan impian memiliki rumah sendiri melalui inisiatif Rumah Madani di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat anjuran SPNB.









Comments