Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan tetap menjalankan siasatan berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah biarpun permohonan maaf telah dilakukan oleh KK Super Mart.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya mengambil serius isu terbabit memandangkan ia dilihat mencetus kegusaran awam.
"KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan (pemeriksaan) di semua premis KK Mart di seluruh negara.
"Hasil pemeriksaan yang kita buat, didapati KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara.
"Namun demikian, siasatan lanjut kita laksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terbabit bagi memastikan stoking ini tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkaitan tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menoktahkan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sehingga kini, polis sudah menerima 36 laporan berkaitan penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan sudah dibuka.
Jelasnya, jika disabitkan kesalahan pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau pun penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking tersebut.
Comments