Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar dan umat Islam berkaitan insiden penjualan stoking tertera kalimah 'Allah'.
Permohonan maaf itu dizahirkan dalam sesi mengadap Kee Kan ke atas Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu.
Sultan Ibrahim telah memberi perkenan untuk menerima Kee Kan menghadap dan menzahirkan permohonan ampun dan maaf tersebut di Istana Negara pada Rabu, kata kenyataan di Facebook baginda hari ini.
"Sesi mengadap Seri Paduka Baginda berlangsung selama 15 minit di Istana Negara, hari ini (Rabu).
"Pada sesi mengadap itu Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu," kata kenyataan itu.
Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak termasuk pihak KK Mart agar lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.
Baginda turut menekankan supaya tidak ada lagi mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.
Yang di-Pertuan Agong turut bertegas agar isu penjualan stoking tertera kalimah Allah dihentikan serta-merta.
"Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini
"Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan," titah baginda.
Pada 26 Mac lalu, Chai, 57, bersama isterinya, Loh Siew Mui, 53, yang merupakan Pengarah KK Super Mart serta tiga lagi pengarah syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sengaja melukakan umat Islam ekoran isu penjualan stoking berkalimah Allah di kedai KK Super Mart di Bandar Sunway, negeri Selangor pada 13 Mac lalu.
Rentetan isu tersebut, tiga kedai KK Mart di Bidor, Perak; Kuantan, Pahang dan Kuching, Sarawak menjadi mangsa serangan bom petrol oleh individu tidak dikenali hingga mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini.
Comments